Tuesday, December 8, 2009

Banjir Gelombang Ketiga Di Terengganu Pulih Sepenuhnya

Semua daerah di Terengganu yang dilanda banjir gelombang ketiga sejak Isnin lepas pulih sepenuhnya Isnin.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu ketika dihubungi Bernama petang ini berkata semua pusat pemindahan di Kemaman dan Kuala Terengganu ditutup petang ini manakala di daerah lain, banjir pulih secara beransur-ansur sejak beberapa hari lepas.

Beliau berkata di Kuala Terengganu seramai 64 orang mangsa terakhir di Sekolah Kompleks Gong Badak dibenar pulang pukul 5 petang dan 74 orang mangsa banjir di Kemaman dibenar pulang pukul 4 petang ini.

Lebih 10,000 penduduk dari tujuh daerah di negeri itu terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sepanjang banjir melanda sebanyak tiga kali sejak awal November lepas.

Banjir kali ini turut mengorbankan enam mangsa terdiri daripada kanak-kanak dan remaja, dengan masing-masing satu kes dilapor di Hulu Terengganu, Besut, Dungun dan Kuala Terengganu dan dua kes lemas di Marang.

No comments:

Post a Comment