Tiga buruh rakyat Bangladesh dan seorang buruh tempatan cedera apabila penghadang cahaya kaca di terminal bas baru Kuala Berang yang sedang dalam pembinaan runtuh semalam.
Dalam kejadian pada kira-kira pukul 3.05 petang itu, difahamkan terdapat 15 pekerja di kawasan berkenaan dengan dua daripadanya sedang memasang kaca sebagai bumbung penghadang cahaya.
Kejadian itu menyebabkan dua buruh yang berada di atas bumbung dan dua lagi yang berada di bawah cedera ringan di kaki dan tangan akibat terkena serpihan kaca itu.
Penyelia tapak pembinaaan berkenaan, Zahir Hariri berkata, kesemua yang cedera dihantar ke Hospital Hulu Terengganu dan dirawat sebagai pesakit luar.
"Ketika kejadian saya berada di pejabat tapak pembinaan dan saya terdengar bunyi kuat dari arah terminal itu. Apabila keluar, saya lihat kaca yang dijadikan bumbung penghadang cahaya jatuh dan pecah,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Beliau berkata kerja pemasangan kaca yang dimulakan sejak seminggu lepas itu hampir 80 peratus siap.
Kejadian dipercayai berlaku disebabkan penyambungan panel yang tidak sempurna pada penghadang cahaya itu, katanya.
Terminal bas berharga RM4.2 juta yang mula dibina pada Mac 2008 dan sepatutnya siap awal tahun depan itu merupakan projek Majlis Daerah Hulu Terengganu.
Sumber: Utusan Online
No comments:
Post a Comment