Wednesday, December 23, 2009

RM492.8 Juta Untuk Projek Perumahan Rakyat Di Terengganu

Kerajaan negeri Terengganu meluluskan pembinaan 28 projek perumahan rakyat (PPR) termiskin di seluruh negeri sejak April tahun lepas hingga November tahun ini dengan peruntukan mencecah RM492.8 juta.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata 15 daripada projek itu kini dalam proses pelaksanaan manakala 13 lagi masih dalam proses reka bentuk dengan jumlah keseluruhan 9,811 buah rumah.

"Dalam melaksanakan projek itu, kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk melakukannya melalui sistem rundingan terus kerana berdasarkan pengalaman proses tender tujuh projek sebelum ini, mengambil masa yang lama sehingga setahun.

"Oleh itu kerajaan negeri mengambil keputusan untuk mempercepatkan projek pembinaan rumah rakyat ini dengan mengamalkan sistem rundingan terus supaya dapat disiapkan menjelang tahun 2013," katanya menjawab soalan Datuk Din Adam (BN-Bukit Besi) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.
Menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (BN-Ajil) mengenai kriteria pemilihan syarikat kontraktor dalam melaksanakan projek itu untuk mengelak kelewatan pembinaan seperti di kawasannya di PPR Batu 22 Ajil melibatkan 317 rumah dengan peruntukan lebih RM36 juta, Ahmad berkata ia dibuat berdasarkan beberapa faktor termasuk latar belakang syarikat, kedudukan kewangan serta pengalaman.

"Tetapi kadangakala biasalah kontraktor ini (masalah kelewatan)...macam orang meminang juga, semasa berkasih indah belaka tetapi apabila dah berkahwin baru nampak kekurangan.

"Semasa nak buat projek semua hebat belaka tetapi selepas itu (dapat projek) pelbagai masalah timbul. Kemudian beri pelbagai alasan termasuk hujan dan sebagainya," katanya.

Ahmad berkata untuk mengelak masalah kelewatan, kerajaan membuat pembayaran berdasarkan peringkat pembinaan dan kontraktor yang gagal melakukannya akan disingkir.

No comments:

Post a Comment