Empat belas penerima biasiswa Fulbright dari Amerika Syarikat (AS) kini sedang mengikuti program suaikenal selama dua minggu, sebelum ditempatkan di sekolah-sekolah terpilih di negeri ini untuk membantu pelajar menguasai bahasa Inggeris.
Mereka yang berada di sini di bawah program Pembantu Pengajar Bahasa Inggeris (ETA) yang diwujudkan pada tahun 2006 antara kerajaan negeri dan AS menerusi Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-Amerika, akan mengajar selama 10 bulan bermula 1 Februari ini.
Ketika ditemui Bernama di sini Rabu, pelajar-pelajar itu berkata program ETA adalah satu cara yang baik untuk meningkatkan tahap bahasa Inggeris pada kalangan pelajar.
Jeffery Bandler, 22, graduan Kolej Pitzer, memberitahu dia berasa teruja kerana dapat membantu kanak-kanak di Terengganu berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris.
"Saya akan cuba mengatasi setiap masalah yang timbul semasa mengajar pelajar di kawasan luar bandar walaupun saya sedar kesukaran tugas itu," kata pemuda dari Oregon yang akan ditempatkan di Sek Men Keb Matang, Hulu Terengganu.
Elyse H. Akhbari, 23, lulusan Universiti Denison, Ohio, yang akan ditempatkan di Sek Men Keb Lagam, Kemaman, berkata dia akan cuba sedaya upaya menjadikan bahasa Inggeris sebagai subjek yang menarik kepada pelajar.
Graduan Kolej Augsburg, Kathryn R. Auly yang berasal dari Minnesota pula berkata tidak sukar untuk mengajar bahasa Inggeris kepada pelajar yang bersemangat untuk belajar bahasa itu.
Auly akan ditempatkan di Sek Men Keb Kijal, Kemaman.
No comments:
Post a Comment