Wednesday, January 13, 2010

Peruntukan RM10 Juta Untuk Pertanian Di Terengganu Tahun Ini

Jabatan Pertanian Terengganu memperuntukkan RM10 juta bagi menjalankan 11 projek utama pertanian di negeri ini tahun ini.

Pengarah Pertanian negeri Md Yusof Maidin berkata peruntukan yang diterima daripada kerajaan pusat itu, antara lain akan disalurkan untuk program pemulihan dan penamaman beberapa jenis buah-buahan dan tanaman termasuk kelapa dan durian.

"Projek pertama yang akan dilaksanakan tahun ini ialah penamanan semula dan pemulihan kawasan penanaman kelapa seluas 460 hektar di Marang, Kemaman dan Setiu.

"Ia akan diikuti dengan projek pemulihan tanaman durian melibatkan kawasan seluas 36 hektar di Besut, Setiu dan Marang untuk menggantikan klon-klon lama dengan klon-klon baru," katanya ketika dihubungi semalam.

Selain itu, Md Yusof berkata di bawah program pembangunan industri buah-buahan, tumpuan diberi kepada lima jenis tanaman iaitu nanas, limau, pisang, betik dan rambutan dalam usaha untuk mengelakkan kebergantungan buah-buahan dari luar.

Beliau berkata seluas 156 hektar kawasan terbiar di negeri ini juga akan ditanam dengan tanaman padi, jagung, pisang dan tembikai untuk membantu meningkatkan pendapatan rakyat di negeri ini selain mengukuhkan lagi ekonomi negeri.

No comments:

Post a Comment