Saturday, January 23, 2010

Tanpa ke laut - Ada nelayan Terengganu Terima Elaun Sara Hidup?

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sedang memantau sebahagian kecil daripada 55,000 nelayan di seluruh negara yang menerima elaun sara hidup RM200 sebulan daripada LKIM tetapi didapati tidak turun menangkap ikan di laut.

Pengerusinya Datuk Abdul Rahim Ismail berkata walaupun jumlah nelayan yang terlibat hanya antara tiga ke lima peratus namun LKIM memandang serius sikap mereka yang terlalu yakin dan selesa yang menganggap bahawa kerajaan tetap akan membantu dalam mengagih elaun itu walaupun mereka tidak ke laut.

"Di sini saya nak ingatkan, kami sedar dan sedang memantau, dan ada langkah-langkah tertentu akan diambil khususnya oleh Jabatan Perikanan jika nelayan-nelayan ini terus menerus tidak turun ke laut," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Ladang Ikan Di Laut (LIDL) LKIM Perak di perairan Pulau Tukun Terendak dekat sini pada Khamis.

Beliau berkata buat permulaan, nelayan yang terlibat akan hanya diberikan amaran dan tindakan lebih tegas akan diambil jika nelayan berkenaan masih gagal mengubah sikap mereka.

"Kami akan beri amaran dahulu, dan selepas itu nama mereka akan senarai hitamkan, sebelum kad nelayan, kad e-diesel, kad e-petrol mereka dibatalkan," katanya.

Abdul Rahim berkata tindakan tegas itu semata-mata bertujuan memastikan bahawa setiap pelaburan kerajaan yang disalurkan melalui LKIM memberikan pulangan yang sewajarnya dalam membantu kumpulan nelayan miskin.

LKIM membayar elaun sara hidup RM200 sebulan kepada 55,000 nelayan di seluruh negara yang layak dan berdaftar dengan agensi itu mulai September lepas dalam usaha kerajaan membantu golongan berkenaan bebas dari kancah kemiskinan.

Sementara itu Abdul Rahim berkata LKIM sebelum ini melancarkan 11 projek LIDL di seluruh negara antaranya di Kedah, Sarawak, Sabah, Terengganu, Johor dan Kelantan yang menunjukkan kejayaan yang amat menggalakkan dalam membantu meningkatkan taraf hidup dan pendapatan nelayan tradisional.

Beliau berkata hasil kajian LKIM pada 2008 di 10 buah Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) di seluruh negara mendapati pendapatan bulanan nelayan tradisional di 10 PNK berkenaan meningkat sebanyak 28.6 peratus.

"Pendapatan bulanan bersih selepas ditolak kos operasi seperti bahan bakar, umpan dan makanan pula meningkat sebanyak 84.25 peratus," katanya.

LIDL merupakan satu kawasan perairan dalam lingkungan lima batu nautika dari pantai dengan keluasan antara satu hingga dua kilometer persegi yang dilabuhkan dengan kombinasi pelbagai jenis unjam bagi menarik kumpulan ikan yang lebih besar.

No comments:

Post a Comment