Friday, January 8, 2010

TDM Bayar Dividen Kepada Pelabur Sebanyak RM23 Juta

TDM Berhad, anak syarikat kerajaan Terengganu telah membayar dividen berjumlah RM23 juta, bayaran tertinggi yang pernah dibuatnya, kepada agensi-agensi kerajaan negeri yang melabur dalam syarikat itu tahun lepas.


Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said berkata daripada jumlah itu, kerajaan negeri yang merupakan pemegang saham utama, menerima sebanyak RM16.3 juta pada Julai lepas dan RM2.7 juta lagi dibayar kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

"Hari ini, TDM Berhad membuat bayaran RM4.2 juta kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu, yang merupakan bayaran pertama untuk LTAWNT," katanya pada majlis penerimaan dividen daripada Pengerusi TDM Berhad, Datuk Roslan Awang Chik selepas mesyuarat minggguan Exco, kelmarin.
Ahmad Said berkata bayaran itu adalah hasil keuntungan usaha sama TDM Berhad dan LTAWNT yang melibatkan kawasan ladang kelapa sawit seluas 1,748 hektar bagi tahun kewangan 2007 dan 2008 iaitu 35 peratus untuk LTAWNT dan 65 peratus lagi untuk TDM Berhad.

Beliau berkata dana yang dimasukkan ke dalam LTAWNT adalah untuk pelaburan bagi menjaga kepentingan rakyat Terengganu pada masa depan.

"Kita juga telah capai kata sepakat untuk membangunkan kawasan Kampung Tanjung di sini dengan rangkaian kedai dan kediaman oleh Lembaga Tabung Warisan," katanya.

Sementara itu, Ahmad Said berkata TDM Berhad akan membina hospital baharu yang moden di Atabara, Kuantan, tidak lama lagi.

"Kita telah beli tanah seluas empat hektar di kawasan berkenaan pada harga RM13 juta bagi memindahan Kuantan Medical Centre (KMC) ke situ apabila siap kelak," katanya.

Katanya kerja reka bentuk bangunan itu sedang berjalan dan ia dijangka dilaksanakan tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment