Tuesday, January 5, 2010

Teks Khutbah Jumaat Bagi Menangani Isu Gula

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDKKK) Terengganu akan menyediakan teks khutbah Jumaat berhubung isu gula dalam usaha menyedarkan rakyat bahawa bekalan gula mencukupi dan harganya masih rendah.

Pengarah JPDN&HEP Terengganu Mohd Helmi Mohd Noor berkata, pihaknya akan merangka teks khutbah berkenaan untuk disampaikan di masjid seluruh negeri itu tidak lama lagi.

"Kita mendapat kerjasama daripada Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) untuk menyampaikan teks berkenaan di masjid-masjid untuk dibaca pada hari Jumaat.

"Dalam teks berkenaan antara lain akan diterangkan yang gula merupakan penyebab kepada lebih 136 jenis penyakit dan gula bukanlah bahan mutlak yang diperlukan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat jawatankuasa menangani isu kenaikan harga gula bersama persatuan pengguna, badan kerajaan dan agensi berkaitan di Kuala Terengganu, semalam.

Mohd Helmi berkata, khutbah itu akan disampaikan di masjid-masjid antara dua dan tiga kali mengikut keperluan.

Pada tahun lepas, katanya kerajaan telah membelanjakan RM720 juta untuk menyediakan gula yang dijual dengan harga RM1.55 sen sekilogram manakala kesan kepada kenaikan bahan itu di pasaran dunia pada tahun 2010 kerajaan terpaksa berbelanja RM1.008 bilion untuk dijual dengan harga RM1.65 sen sekilogram.

"Kalau dibandingkan dengan harga gula di negara jiran seperti Thailand RM2.50 sen sekilogram, Singapura (RM1.05 sen) Indonesia (RM3.40 sen) dan Filipina (RM3.62 sen), maka kita di sini masih rendah dengan RM1.65 sen," katanya.

Beliau berkata, sehingga ini belum ada lagi peniaga makanan dan minuman menaikkan harga jualan mereka berikutan harga baru gula berkenaan.

Katanya, dalam tinjauan yang dibuat di pasar-pasar sekitar Kuala Terengganu, kebanyakan peniaga tidak menaikkan harga, antaranya kerana bimbang kehilangan pelanggan.

Mohd Helmi berharap agar peniaga tidak menaikkan harga makanan dan minuman yang dijual kerana harga gula hanya naik 20 sen dan tidak munasabah jika secawan teh naik 10 sen, katanya.

No comments:

Post a Comment