Tuesday, January 26, 2010

Terengganu Peruntukan 16 Hektar Tanah Untuk Pembinaan Dua Kilang

Kerajaan Terengganu memperuntukkan tanah seluas 16 hektar bagi pembinaan dua kilang iaitu kilang memproses ikan dan kilang ikan baja secara komersil di kawasan perindustrian Batu Rakit.

Pengerusi Jawatankuasa Industri Kecil dan Sederhana Terengganu Toh Chin Yaw berkata empat hektar tanah tersebut adalah bagi fasa pertama pembinaan manakala 12 hektar lagi untuk fasa kedua.

"Kerajaan telah bersetuju untuk membina kilang di kawasan Batu Rakit di mana peringkat pertama kita akan meluluskan tanah seluas 10 ekar dan kita juga memberi pilihan sebanyak 30 ekar lagi untuk fasa kedua.

"Peringkat pertama melibatkan pelaburan sebanyak RM45 juta," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum perjanjian (MOA) antara AHT Fish Meal Industries Sdn Bhd dengan sebuah syarikat Korea GP 21 Spectrum LLC.

Toh berkata pembinaan fasa pertama dua kilang itu yang dijadualkan bermula pada pertengahan tahun ini dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada akhir tahun ini, bakal memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan selain dilihat sebagai satu langkah positif ke arah memajukan industri berasaskan ikan.

Beliau berkata selain memberi peluang pekerjaan, rakyat tempatan juga akan dilatih untuk mengendalikan peralatan berteknologi tinggi yang dibawa dari Korea.

AHT Fish Meal Industries Sdn Bhd, sebuah syarikat tempatan, menyasar kira-kira 5,000 tan pengeluaran untuk tiga produk utama syarikat berkenaan iaitu bebola ikan, kek ikan dan makanan ikan.

"Dengan itu kita memerlukan kira-kira 15,000 metrik tan ikan mentah sebulan untuk menampung operasi kita. Dengan itu kita akan membeli ikan-ikan dari nelayan di sekitar pantai timur dan barat selain bercadang untuk membeli ikan-ikan dari Thailand," kata Pengarah Urusan syarikat itu Datuk Abdullah Taib.

Beliau berkata turut mendapat manfaat daripada pembinaan kilang itu ialah pengusaha keropok di Terengganu kerana syarikat itu akan membeli sisa ikan seperti tulang untuk diproses menjadi sebahagian dari ramuan produk.

Sementara itu, pengerusi GP 21 Spectrum LLC, Ha Kwang Ho berkata Terengganu dipilih kerana ia merupakan pusat untuk kawasan timur, berdekatan dengan Kelantan dan Pahang.

"Berdasarkan kedudukannya, kami percaya bahan mentah (ikan) mencukupi untuk menyokong operasi kami di sini," katanya.

No comments:

Post a Comment