Umno Terengganu mencapai kata sepakat menyokong untuk menjayakan program Juara Rakyat dalam usaha parti mendekati hati rakyat, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Menurutnya, walaupun terdapat perbezaan pendapat di kalangan pemimpin-pemimpin Umno negeri sebelum ini, namun keputusan yang dicapai secara konsesus itu akan memastikan setiap pemimpin memegang dan memikul tanggungjawab masing-masing berdasarkan keputusan yang dicapai.
"Ini menjadi satu tekad dan persetujuan bersama dan saya akan pastikan semua pegang dan pikul tanggungjawab terhadap keputusan yang dibuat secara konsesus semalam," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Juara Rakyat peringkat negeri di Dewan Sekolah Menengah Teknik Terengganu, Jalan Lapangan Terbang Kuala Terengganu, di Kuala Terengganu, semalam yang turut dihadiri Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said.
Hishammuddin berkata relevannya sesebuah parti tidak berkisar hanya kepada seseorang invididu semata-mata, bahkan ia lebih menjurus kepada agenda yang disusun untuk manfaat rakyat.
"Jadi yang penting sekarang, semua pemimpin khususnya di Terengganu ini melihat kepada agenda yang lebih besar. Itu yang akan dinilai oleh pimpinan dalam mengetengahkan barisan dalam pilihan raya yang akan datang," katanya.
Menteri Dalam Negeri itu juga menekankan kepentingan program Juara Rakyat dihayati pimpinan untuk dirasai oleh semua rakyat selain memastikan matlamatnya sampai ke kumpulan sasaran.
Beliau berkata walaupun idea mengenai Juara Rakyat ini datangnya dari pusat, tetapi ia perlu diterjemah dan disesuaikan mengikut suasana serta tempat masing-masing.
"Hari ini program ini dibuat di Kuala Nerus dan saya tengok sambutan amat membanggakan dan ia adalah satu permulaan dalam usaha untuk menyemarakkan semangat perjuangan dalam Umno dan Barisan Nasional," kata Hishammuddin.
Beliau berkata bagi Umno Terengganu, pelbagai program Juara Rakyat dirancang yang akan turut melibatkan penyertaan dari Presiden Umno yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Program Juara Rakyat dilancarkan Perdana Menteri pada 9 Jan lepas di Rawang, Selangor adalah sebagai tanda Umno menerima isyarat daripada rakyat supaya kembali mendampingi rakyat selepas ditolak pada pilihan raya umum ke-12 lepas.
Kelmarin, Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Terengganu di Bangunan Umno negeri.
No comments:
Post a Comment