Wednesday, February 17, 2010

ADA PIHAK TIDAK PUAS HATI DENGAN IDRIS JUSOH?

Oleh Pok Teh Bakap

Hmmmm...sebentar tadi saya menerima panggilan dan sms bertanyakan apakah benar UMNO cawangan Taman Seri Pelagat, Kampung Padang Luas dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Jerteh sedang bergolak?


Ikhlas saya katakan, politik cawangan seperti ini saya jarang ambil peduli kerana saya lebih tumpukan isu-isu negeri dan nasional.

Lagipun apa pentingnya UMNO cawangan Taman Seri Pelagat ini?

Kata pemanggil berkenaan, ia penting kerana ia di bawah DUN Jerteh. Wakil rakyatnya ialah Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh.

Ohohh...baru saya tersedar. Tapi apa pula masalahnya?

Idris jaga kawasan dan tidak pernah tidak balik ke Jerteh. Beliau sudah membuktikan kepimpinannya yang berkesan dan berfikiran global pulak tu. Tak kan ada masalah!

Beliau dianggap sebagai ‘pemimpin pembaharuan’ ketika menjadi Menteri Besar Terengganu. Tidak munasabah dan tidak masuk akal.

Malah cakap-cakap ketika Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turun ke Gong Kemutong baru-baru ini menyebut Idris tidak perlu minta peruntukan daripada negeri. TPM boleh beri terus kepada Idris yang dianggap ‘juara’dalam segala-galanya.

Lihatlah betapa rapatnya Idris – bukan sahaja dengan TPM tetapi dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak sendiri.

Berbalik kepada isu cawangan Taman Seri Pelagat ini, saya berusaha mendapatkan perkara sebenar daripada UMNO cawangan berkenaan.

Selidik punya selidik ada dua perkara yang dikatakan berlakunya pergolakan:

1. Seorang ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) meletakkan jawatan; dan,

2. 11 (sebelas) Ahli jawatankuasa UMNO cawangan turut meletakkan jawatan.
Menurut cakap-cakap surat melepaskan jawatan itu sudah dihantar ke Ibu Pejabat UMNO, Presiden UMNO, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri dan sebagainya dan sebagainya. Biasalah kalau sudah marah, lupakan semua kebaikan Idris selama ini.

Tetapi apa masalahnya?

Menurut cakap-cakap, pemimpin UMNO cawangan itu kecewa dengan Idris kerana taman perumahan itu diabaikan.

Itu sahaja? Sekali lagi saya tidak percaya. Idris dikenali sebagai pemimpin yang ambil berat penyokongnya. Kalau tidak sudah tentu beliau akan dicabar sebagai Ketua Bahagian dan jawatan lain.

Lagipun tidak munasabah Idris yang menjadi Pengerusi MARA boleh berbuat demikian.
Saya tidak yakin selagi saya tidak melihat salinan surat berkenaan. Saya sedang berusaha mendapatkannya.

Jika sudah dapat saya akan cuba salinkan dan masukkan dalam entri akan datang bersama-sama dengan ulasan atau komen mereka yang terlibat.

Tunggulah....jangan buat andaian bermacam-macam selagi belum ada putih-hitam, iaitu surat berkenaan.

No comments:

Post a Comment