Wednesday, February 17, 2010

Laksana program tanpa beza kaum

Masyarakat keturunan Cina, Siam dan kaum lain perlu berubah dalam pelbagai aspek termasuk dari segi sosial dan ekonomi bagi memastikan kehidupan mereka sentiasa dihormati serta disegani oleh bangsa lain terutama orang Melayu di negara ini.

WONG Foon Meng (tengah, barisan kedua) bersama Mohd. Jidin Shafee (kiri), Ramlan Ali (dua dari kanan) dan Khazan Che Mat (kanan) pada Majlis Jamuan Makan Malam Gong Xi Fa Cai 1Malaysia anjuran MCA kawasan Setiu di Dewan Komuniti Kampung Fikri, Setiu, kelmarin.
– UTUSAN/Adnan Mohamad


Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Datuk Wong Foon Meng berkata, golongan terbabit perlu membuat perubahan sedemikian supaya mereka juga dapat hidup bersatu padu serta berkerjasama dalam melaksanakan sebarang program tanpa melibatkan perbezaan kaum.

Menurutnya, jika masyarakat berkenaan masih mengutamakan kepentingan diri tidak mungkin hasrat kerajaan untuk melihat konsep 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjalan dengan sempurna tidak akan berhasil.

‘‘Walaupun sekarang kita melihat kebanyakan masyarakat Cina serta kaum lain telah bangkit atas sikap kesedaran untuk melaksanakan konsep yang dijalankan oleh kerajaan, namun kita masih mendapati ada segelintir kaum Cina di negara ini masih mengamalkan sikap yang akhirnya boleh menjejaskan perpaduan di kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap di Majlis Jamuan Makan Malam Gong Xi Fa Cai 1Malaysia anjuran MCA kawasan Setiu di Dewan Komuniti Kampung Fikri, dekat sini malam tadi.

Sempena dengan majlis itu, MCA juga turut menyampaikan anugerah kecemerlangan akademik, sumbangan warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) dari kawasan berkenaan.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat, Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd. Jidin Shafee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Abdul Halim Jusoh dan ADUN Jabi, Ramlan Ali.

Foon Meng menambah, sikap hormat menghormati di antara satu sama tanpa mengetepikan berlainan agama tidak akan merugikan sebaliknya ia akan dapat mewujudkan lagi kemesraan yang sudah terjalin sejak sekian lama dalam masyarakat majmuk.

Beliau turut memuji kaum Cina dan Siam di kawasan Setiu yang dapat hidup secara harmoni selain menerapkan nilai perpaduan dengan masyarakat orang Melayu di kawasan setempat.

‘‘Dengan nilai murni ini, kita mendapati kerajaan serta orang Melayu di kampung mereka tidak per nah mengabaikan masyarakat Cina serta Siam sebaliknya mereka sentiasa dibantu mengikut keperluan,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment