Thursday, February 25, 2010

Lebih 60 Peratus Kes Jenayah Di Terengganu Libatkan Golongan Muda

Lebih 60 peratus kejadian jenayah di Terengganu dalam tempoh dua bulan lepas dilakukan oleh golongan belia dan pelajar, kata Ketua Polis Negeri Datuk Mohd Shukri Dahlan.

Beliau berkata angka itu amat membimbangkan dan polis akan menumpukan perhatian kepada usaha-usaha mencegah golongan tersebut daripada terbabit dengan jenayah selain mengurangkan kadar jenayah di negeri berkenaan.

"Untuk dua bulan pertama ini kita dapati 60 peratus kes-kes jenayah yang dilaporkan di Terengganu ini melibatkan pelajar dan sebahagian besarnya mereka yang berumur 30 tahun ke bawah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Ketua Polis Daerah di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang, semalam.
Mohd Shukri berkata pihaknya telah merangka beberapa pendekatan yang menumpukan kepada program pencegahan jenayah bagi memastikan jumlah mereka yang terlibat dengan kegiatan itu menurun.

"Kita juga akan mengadakan ceramah di sekolah-sekolah serta taklimat kepada persatuan belia dengan kerjasama dari agensi-agensi yang ada kaitan dengan belia," katanya.

Selain itu, Mohd Shukri berkata pihaknya juga akan memperhebatkan operasi bagi membendung gelaja 'merempit' pada kalangan remaja yang bukan sahaja menimbulkan suasana yang tidak selesa pada kalangan penduduk setempat dan pelancong tetapi turut mengundang bahaya kepada orang ramai.

No comments:

Post a Comment