Monday, February 1, 2010

RM1.6 juta bangunkan semula tanah terbiar

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperuntukkan RM1.6 juta untuk membangunkan semula kawasan tanah terbiar sebagai kawasan penanaman padi di Kampung Gong Machang, dekat Tembila.

Pada peringkat awal seramai 28 petani dipilih untuk mengusahakan Program Berkelompok Padi Gong Machang di tanah seluas 40.5 hektar.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Muhammad Pehimi Yusof, kawasan tanah terbiar yang dikenal pasti sebanyak 120 hektar tetapi pada peringkat awal hanya 40.5 hektar akan diusahakan.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Negeri berkata, projek itu adalah perintis dalam usaha kerajaan untuk menggunakan tanah terbiar sebagai pusat pengeluaran makanan negara.

“Kerajaan mengeluarkan peruntukan yang besar untuk membangunkan kawasan ini termasuk menyediakan infrastruktur seperti sistem pengairan yang telah bermula sejak tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Penyampaian Peralatan Pertanian kepada Peserta Berkelompok Padi berkenaan di sini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Ramlan Ali, wakil pegawai Pejabat Pertanian Daerah, Anuar Mahmud dan Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.

Sebanyak enam buah traktor dua roda (kerbau besi), lapan unit penyembur racun berenjin dan peralatan lain kepada kelompok peserta terbabit.

Peserta yang terdiri daripada penduduk kawasan DUN Kota Putera dan Jabi itu akan turut menerima subsidi lain termasuk racun, baja dan benih yang akan diberikan jabatan pertanian.

No comments:

Post a Comment