Thursday, March 11, 2010

Ahmad Said ziarah jenazah, lawat mangsa kemalangan

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said malam semalam menziarahi jenazah dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah treler di Km18, Jalan Kuala Berang-Kuala Terengganu di Kampung Binjai Rendah petang semalam.
Tiga beranak maut manakala lima lagi anggota keluarga itu cedera dengan seorang daripadanya parah dalam kemalangan itu.
Dalam kemalangan kira-kira 3.40 petang itu, pemandu MPV Toyota Avanza, Ghazali Mohd, 63, yang merupakan seorang imam meninggal dunia di tempat kejadian, kata Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah Marang Cif Insp Rafii Shaari.

Isteri Ghazali, Halimah Awang, 56, dan anak mereka, Raziah, 39, guru Sekolah Kebangsaan Pengkalan Berangan, Marang, masing-masing meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan Klinik Kesihatan Bukit Payong, katanya kepada pemberita di bilik mayat HSNZ di sini.

Anak pasangan itu Farazila, 22, pula cedera parah manakala tiga lagi anak pasangan itu mengalami kecederaan ringan iaitu Mariani, 28, Mohd Aidil 15, dan Aiman Shafiq, 13. Turut cedera ringan ialah anak Raziah, Ammar Farham Mohd Ariffin, 8.

Beliau berkata pemandu treler berkenaan yang mengalami kecederaan di bahagian paha turut dirawat di HSNZ.

Beliau berkata keluarga berkenaan dilaporkan dalam perjalanan dari rumah mereka di Kampung Temala, Marang ke Kuala Terengganu untuk membeli barang persiapan perkahwinan Mariani yang dijadual pada 16 Mac ini.

"Kereta yang dipandu Ghazali dikatakan cuba memotong sebuah kereta lain yang ingin memasuki satu simpang di kawasan berkenaan sebelum bertembung dengan sebuah lori treler yang datang dari arah bertentangan," katanya.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi perkarangan bilik mayat HSNZ apabila saudara mara dan sahabat handai yang menziarahi jenazah tidak dapat menahan rasa sedih dengan kejadian yang menimpa keluarga itu.

Mohd Ariffin Embong, 44, suami kepada Raziah ketika ditemui di hospital itu berkata, beliau mengentahui kejadian itu pada kira-kira 5.18 petang ini setelah dimaklumkan oleh anggota polis.

Beliau yang bekerja sebagai penyelia asrama Sekolah Kebangsaan Padang Setebu, Basong, Hulu Terengganu berkata, beliau reda dengan kejadian yang menimpa keluarganya.

"Malam tadi isteri saya dah beritahu yang dia akan ke bandar Kuala Terengganu menemani ayah dan ibunya membeli barang-barang untuk persiapan perkahwinan adiknya, Mariani minggu depan,

"Saya terima takdir ini dengan penuh kesabaran," katanya.

No comments:

Post a Comment