Pendidik yang baru tamat pengajian tetapi gagal melaporkan diri untuk berkhidmat mengikut tarikh yang ditetapkan akan menghadapi tindakan digugurkan sebagai guru.
Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata meskipun kes tersebut adalah terpencil, namun amaran perlu dikeluarkan bagi mengatasi masalah kekurangan guru khususnya di kawasan pendalaman Sabah dan Sarawak.
"Kebanyakan guru tidak menolak untuk ke pendalaman cumanya ada segelintir sahaja guru yang kita suruh pergi, dia tak mahu pergi. Isu kekurangan guru berpunca daripada guru opsyen.
"Guru opsyen ini seperti guru Sejarah, Kemahiran Hidup dan Bahasa Inggeris. Kebanyakan mereka berpindah tetapi tidak ada ganti. Kalau contohnya seorang guru itu sanggup ke pendalaman memandangkan ia kampung halamannya, kalau dia mengajar agama, guru itu tidak boleh mengajar Bahasa Inggeris kerana standardnya tidak akan sama seperti yang kita (kementerian) mahukan," kata di Kuala Terengganu semalam.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan majlis penyampaian sijil kepada lima pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Mengabang Telipot, dekat Kuala Terengganu.
Mohd Puad berkata guru yang digugurkan bagaimanapun masih boleh membuat rayuan dengan mengemukakan bukti dan alasan yang boleh menjadi pertimbangan kepada pihak kementerian untuk dikekalkan sebagai guru.
Dalam pada itu, beliau berkata bagi guru yang telah berkhidmat lama juga tidak dikecualikan untuk ditempatkan ke kawasan pendalaman.
Ditanya sekiranya ada di kalangan guru berpengalaman tersebut yang enggan berpindah, beliau berkata tindakan itu akan menjejaskan peluang kenaikan pangkat dan gred perkhidmatan guru terbabit.
Selain itu, Mohd Puad berkata pihaknya menyediakan 5,292 tempat dalam Kursus Perguruan Lepasan (KPL) SPM bagi mengikuti kursus di peringkat Ijazah Pendidikan selama lima tahun setengah.
Menurutnya syarat kemasukan untuk mengikuti KPL SPM akan diperketatkan di mana pelajar disyaratkan mendapat tiga mata pelajaran cemerlang, tiga kepujian dalam Bahasa Melayu, Sejarah dan lain-lain subjek serta lulus Bahasa Inggeris.
"Pengambilan bagi kemasukan ke KPL SPM akan bermula pada Jun ini," katanya.
No comments:
Post a Comment