Saturday, March 6, 2010

JANGAN POLITIKKAN ISU BAIKI TOKONG 200 TAHUN

Oleh Pok The Bakap

Saya berharap tiada pihak yang akan mempolitikkan isu tokong di Kampung Cina untuk diperbaiki dan dibina semula.

Saya masih ingat, minggu lalu Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat mengarahkan MCA Terengganu mengambil tindakan segera untuk membaiki tokong bersejarah Ho Ann Kiong yang hampir musnah dalam kebakaran.

Saya sedikit hairan kenapa MCA semalam menggesa kerajaan negeri Terengganu mengambil inisiatif segera dengan memberi sumbangan bagi membina semula tokong Ho Ann Kiong berusia 200 tahun yang rosak akibat kebakaran pada 22 Februari lepas.

Pengerusi Biro Agama MCA Datuk Seri Tan Chai Ho berkata Menteri Besar Datuk Ahmad Said sepatutnya menggunakan inisiatif segera kerajaan persekutuan bagi menderma RM500,000 untuk membiayai pembinaan semula tokong itu.

"MCA berpendapat kerajaan negeri Terengganu patut menunjukkan sikap murah hati dan belas ihsan terhadap sebuah tokong yang kini tidak lagi boleh digunakan akibat kebakaran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tan menyatakannya mengulas kenyataan Ahmad Isnin lepas yang dipetik akhbar The Star bahawa kerajaan negeri tidak akan menghulurkan sebarang sumbangan kewangan bagi membina semula tokong itu kerana ia telah menerima sumbangan daripada ahli perniagaan.

Bercakap pada sidang media Rabu lepas, Ahmad Said menjelaskan, isu pembinaan tokong itu tidak timbul sebab sudah ada pihak yang mahu berderma.

Beliau membayangkan jumlahnya lebih RM1 juta dan sudah ada penderma yang sanggup membaiki tokong tersebut.

“Pokoknya, tokong itu sudah ada pihak yang mahu bina semula. Mereka sudah menyediakan wang secukupnya. Tidak timbul lagi soal kerajaan negeri ,membantu kerana saya sudah diberikan jaminan oleh pihak berkenaan untuk membinanya semula,” kata beliau.

Ahmad Said sendiri sudah melawat tokong yang terbakar itu sehari selepas pulang dari Jerman dan menunaikah umrah.

“Saya prihatin mengenai masalah ini dan kerana itu saya berusaha mendapatkan pembiayanya,” kata beliau.

Kebakaran sebuah tokong berusia lebih 200 tahun itu disebabkan satu colok yang terjatuh ke lantai dan tidak ada sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu, kata polis.

Tan, yang juga anggota Jawatankuasa Pusat MCA menyifatkan kerajaan negeri tidak bertindak bijak apabila tidak mempedulikan nasib tokong itu.

"Ini bercanggah dengan semangat 1Malaysia, perpaduan dalam kepelbagaian," katanya.

Ahmad Said berkata pihak-pihak tertentu jangan jadikan isu pembinaan tokong ini sebagai isu politik.
“Yang penting sudah ada pihak mahu membinanya semula, “ kata beliau.

No comments:

Post a Comment