Thursday, March 4, 2010

Lagak `Hero' Halang Tugas Penjawat Awam















Menteri Besar, Datuk Ahmad Said (kanan) ditemani SUK, Datuk Mazlan Ngah ketika menjawab pertanyaan wartawan selepas mesyuarat mingguan exco di Wisma Darul Iman. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.


Oleh : AIDA ABD RAHMAN (UKOM)

Kerajaan negeri kesal dengan sikap pemimpin politik parti pembangkang di negeri ini yang berlagak seperti `hero’ kononnya memperjuangkan nasib rakyat dengan menghalang pihak berkuasa menjalankan tugas merobohkan rumah setinggan di Paya Bunga, Kuala Terengganu, pagi kelmarin (2 Mac).

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata sikap `hero’ berkenaan hanya mendatangkan masalah kepada dirinya sendiri kerana tindakannya itu boleh menyebabkan dia ditahan untuk tindakan lanjut.

“Sekarang ini kalau nak jadi hero payahlah. Sebab yang terlibat 12 orang sahaja tuan tanah (yang dipindahkan). Jadi, kita sudah beri rumah kepada mereka di Mengabang Lekor (Batu Rakit), selesai masalah mereka.

“Tuan rumah tiada masalah dan penyewa rumahg kita sediakan kenderaan untuk berpindah ke rumah (baru) masing-masing. Dia yang tunjuk hero dan bukan dia terlibat di situ seolah-olah dia memperjuangkan rakyat, itu tak betul. Kita yang lebih memperjuangkan rakyat,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu semalam.

Menteri Besar menjelaskan bahawa rumah yang didiami penduduk sejak berpuluh tahun lalu di kawasan itu merupakan tanah rezab kerajaan yang perlu dikosongkan untuk tujuan pembangunan di Bandar Raya Kuala Terengganu.

Katanya, penduduk sepatutnya lebih memahami perkara itu kerana status mereka membina rumah dan mendiami tanah adalah secara haram dan apabila sudah dikeluarkan notis berpindah dengan jangka masa yang mencukupi mereka perlu akur.

Ahmad Said berkata, kerajaan sudah menggunakan cara yang diplomatik dan mengikut peraturan sebelum merobohkan rumah mereka. Malah, kerajaan juga tidak mengenakan sebarang denda kerana ingkar notis yang dikeluarkan kepada mereka walaupun kerajaan berhak bertindak demikian.

“Enam orang daripada jumlah penduduk di situ kita sudah beri rumah di Mengabang Lekor untuk mereka pindah dan tiada masalah. Rumah yang diroboh kelmarin, barang-barang semua dah tiada seperti almari, pakaian..semua dah dipindahkan.Ada tuan rumah memberontak? Cuma yang tunjuk hero dua orang sahaja,” katanya.

Harian Metro dan Sinar Harian semalam melaporkan kerja merobohkan rumah setinggan di Kampung Paya Bunga, di sini, pagi semalam kecoh apabila seorang pemilik rumah berkeras dan enggan keluar dari penempatan itu.

Lebih mengeruhkan keadaan, kehadiran seorang pemimpin politik menghalang jentera pihak berkuasa merobohkan rumah bukan sahaja dianggap mengambil kesempatan atas isu itu, malah menimbulkan tanda Tanya tujuan sebenar beliau berada di situ kerana majoriti penduduk di situ sudah berpindah.

Pemimpin berkenaan yang merupakan Ketua Angkatan Muda Keadilan negeri, Mohd Fariz Musa, 40, ditahan polis untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan sebelum melepaskan mereka dengan jaminan polis dalam masa terdekat.

No comments:

Post a Comment