Thursday, April 15, 2010

Kelulusan serta merta gembirakan Persatuan Tenis Besut

Ahli Persatuan Tenis Besut menganggap kelulusan membina gelanggang tenis yang diberikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said selepas 12 tahun berjuang sebagai Ahad lalu sebagai sejarah buat persatuan berkenaan.

Paling mengharukan, permohonan mereka diluluskan serta merta oleh Ahmad Said dalam pertemuan singkat di kediaman rasmi Pegawai Daerah Besut, Wan Mamat Wan Ngah, di Air Tawar.

Setiausaha Kehormat Persatuan, Shamsol Kamal Mohd berkata, hampir 12 tahun ahli jawatankuasa persatuan bertungkus-lumus memohon gelanggang tenis sendiri namun semuanya hampa.

Menurutnya, pada masa kini, ahli persatuan terpaksa menumpang di gelanggang tenis Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Putera untuk latihan harian dan masalah itu menyebabkan aktiviti mereka terhad.

“Kesempatan lawatan kerja Menteri Besar ke daerah ini, mendorong ahli jawatankuasa persatuan sepakat menemui beliau sendiri secara bersemuka dan merayu agar mendapat kelulusan pembinaan gelanggang secara rasmi.

“Tanpa membuat temu janji, kami bertemu dengan beliau (Ahmad Said) sebaik sahaja beliau selesai menikmati makan tengah hari di rumah pegawai daerah untuk mengemukakan surat rayuan berkenaan dan beliau melayan kami dengan mesra,” katanya.

Shamsol berkata, Ahmad Said terus menandatangani surat meluluskan pembinaan dua gelanggang berkenaan dan menyerahkan surat yang ditandatangani kepada Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, semua ahli persatuan mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Menteri Besar kerana meluluskan serta merta pembinaan gelanggang tenis selepas bertahun memperjuangkannya selama ini.

“Kini, persatuan mempunyai kira-kira 50 ahli termasuk 20 remaja dan ramai antara mereka mewakili negeri pada pertandingan tenis yang dianjurkan di negeri ini.

“Lebih menggembirakan, gelanggang tenis yang diluluskan akan dibina di kawasan eksklusif iaitu berdekatan Padang Golf Bukit Keluang yang masih dalam pembinaan,” katanya.

Tahun lalu, Sinar Harian pernah menyiarkan rayuan persatuan itu memohon gelanggang dan rentetannya, Pegawai Daerah Besut ketika itu, Wan Mohd Wan Ibrahim mengumumkan Kerajaan Negeri meluluskan pembinaan enam gelanggang tenis.

Bagaimanapun, Ahmad Said meluluskan hanya dua gelanggang terlebih dahulu berikutan atas sebab tertentu iaitu kewangan dan keperluan.

No comments:

Post a Comment