Tuesday, April 13, 2010

LAWATAN AHMAD SAID GEMBIRAKAN RAKYAT BESUT


Saya berterima kasih kepada rakan-rakan yang mengulas dalam facebook mengenai lawatan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said ke Besut sepanjang hari kelmarin (Ahad 11 April 2010).

Lawatan itu mendekatkan beliau dengan rakyat, khususnya di tempat yang dilawati selain membolehkan semua anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memahami apa yang dimahukan oleh pentadbiran negeri.

Kepada Mohd Fauzi Muhammad, Mohd Zaidi Sulong, Feeza Ab, Noor Azmi Mohd Nors serta Hasbullah Latiff, terima kasih. Malah Hasbullah mengatakan: “"saya harap demi rakyat daerah besut DSidris dan ahmad said sentiasa berhubung rapat. pemimpin silih berganti, rakyat sentiasa hauskan pembangunan. justeru, mereka ber2 semoga tidak bermusuh lagi. akrbkan silaturrahim demi BESUT dan orang2nya. alhamdulillah sedap dengar kabar tu."

Hakikatnya, hubungan Ahmad Said dan Datuk Seri Idris Jusoh (ADUN Jerteh) begitu rapat dan mesra, dan begitu juga dengan ADUN Jabi, Ramlan Ali, ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad, Kuala Besut, Dr A Rahman Mokhtar serta ADUN Kota Putera, Mohd Pehemi Yusof.

Mereka bergandingan bahu meninjau masalah rakyat khususnya longkang, kawasan perumahan, jeti nelayan, kawasan penanaman padi serta banyak lagi.

Bayangkan, lawatan Ahmad Said yang bermula jam 9.00 pagi berakhir jam 5 petang dan hanya rehat makan tengah hari antara jam 2 hingga 3 petang di kediaman Pegawai Daerah Besut.

Dalam tinjauan dari Jabi ke Hulu Besut, Jerteh, Seberang Jerteh, Kuala Besut dan Kota Putera, Ahmad Said dapat menyelami sendiri masalah yang dihadapi penduduk melalui wakil rakyat Barisan Nasional (BN).


Ahmad Said mendengar penerangan daripada ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad

Dengan kerja kuat dan perpaduan sedemikian, tidak pelik jika Besut yang BN menang keseluruhan satu Parlimen dan empat DUN pada pilihanraya umum Mac 2008 akan mengulanginya sekali lagi pada pilihan raya umum ke 13 nanti.


ADUN Kota Putera, Mohd Pehimi menyatakan sesuatu kepada Menteri Besar


Malah, DUN Jabi dalam Parlimen Setiu tetapi di bawah pentadbiran Majlis Daerah Besut, akan turut kekal di bawah BN.

Apakah maknanya ini? Bukankah ia simpanan tetap (fixed deposit) untuk BN pada pilihan raya umum akan datang?

Jadi tidaklah menghairankan apabila Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan tambahan RM10 juta untuk Daerah Besut bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur dan pembangunan di daerah berkenaan.


Ahmad Said meninjau Lata Belatan diiringi Pegawai Daerah Besut, Tuan Mamat Tuan Ngah dan Yang Dipertua Majlis Daerah Besut, Wan Mustafa Wan Hasan.

Daripada jumlah itu, RM7.6 juta diperuntukkan bagi membina kemudahan sistem perparitan dan saliran lebih besar bagi mengatasi masalah banjir di daerah ini, sementara RM2.4 juta pula bagi tujuan membina jalan baru ataupun menaik taraf jalan sedia ada.

Peruntukan itu tidak termasuk dalam bajet PBT bagi Daerah Besut yang diumumkan sebelum ini iaitu RM2.7 juta dan tambahan RM2.3 juta.

Sebenarnya jumlah keseluruhan yang diluluskan termasuk peruntukan kelmarin sebanyak RM15 juta bagi memberi kemudahan kepada rakyat.

Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan dengan ahli JKKK di Dewan Majlis Daerah Gong Kemuntong, dekat Jertih, Ahmad Said berkata, antara projek pembangunan yang akan dijalankan bermula tahun ini sehingga tahun depan adalah membesarkan dan membina longkang di semua DUN.

Ahmad Said dan Idris tinjau pembinaan pusat jualan makanan di Jerteh.

Selain itu, usaha akan dijalankan bagi membina saliran ke kawasan sawah padi terbiar seluas 92 hektar di Baroh Raja dekat Kampung Dengir yang sebelum ini tidak dapat diusahakan kerana masalah pengairan.

Kerajaan juga akan membangunkan Hutan Lipur Lata Belatan dekat Jabi dengan menyediakan pelbagai kemudahan untuk pengunjung.

Mengenai masalah jeti nelayan di Kuala Besut, Ahmad Said memberi jaminan masalah itu akan dapat diatasi pada tempoh segera.

Dengan perbincangan dan arahan-arahan yang dikeluarkan, dijangkakan apa juga masalah yang ditimbulkan oleh ADUN-ADUN berkenaan akan dapat diatasi segera.

Tidak hairanlah apabila mengumumkan peruntukan itu, beliau mendapat tepukan gemuruh ahli JKKK Besut dan jelas terbayang di wajah mereka, Ahmad Said turun bagi mengatasi masalah rakyat sesuai dengan tema ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan.’


Menyatakan sesuatu mengenai jeti nelayan di Kuala Besut ditemani Dr A Rahman Mokhtar

No comments:

Post a Comment