Saturday, April 10, 2010

Pusat Akuatik MBKT – kerajaan negeri tunggu laporan



Gambar Fail – Ahmad Said ketika melawat pusat itu tahun lalu.

Kerajaan Terengganu akan meminta laporan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) berhubung pembaikan Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) berikutan beberapa bahagian kolam renang itu rosak dan berkarat.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata sehingga ini beliau tidak dimaklumkan mengenai perkembangan terbaru mengenai kolam renang berkenaan sama ada ia telah dibaiki atau sebaliknya.

Pusat Akuatik MBKT berharga RM18 juta dibina kerajaan Terengganu untuk acara renang Sukan Malaysia (Sukma) 2008, bagaimanapun ditutup selepas setahun siap dibina kerana didapati banyak bahagian yang bocor dan berkarat.

Pada Julai tahun lepas Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor ketika membuat tinjauan ke pusat itu berkata kualiti pusat akuatik itu tidak mencapai tahap yang ditetapkan menyebabkan ia tidak dapat berfungsi dengan baik.

"Saya akan minta laporan daripada JKR secepat mungkin untuk mengetahui mengenai perkembangan kolam renang itu sama ada ia telah dibaiki atau bagaimana.

"Saya difahamkan kolam renang itu masih lagi dalam tempoh pengurusan pihak kontraktor," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu selepas melancarkan program Kelas Tamayyuz dan anugerah pelajar cemerlang Sekolah Menengah Agama Marang yang turut dihadiri Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail.

Bernama yang membuat tinjauan di Pusat Akuatik itu, mendapati kerja-kerja pembaikan sedang giat dijalankan di bawah pengawasan MBKT .

No comments:

Post a Comment