Tuesday, April 27, 2010

RM13 juta naik taraf sistem perparitan di Dungun

Kebimbangan masyarakat tempatan di daerah Dungun khususnya bagi mereka yang tinggal di kawasan rendah terhadap permasalahan banjir yang dipercayai berpunca daripada sistem saliran dan perparitan tidak sempurna bakal berakhir.

Ini apabila Kerajaan Negeri memperuntukkan kira-kira RM13.2 juta kepada Majlis Perbandaran Dungun (MPD) untuk proses menaik taraf sistem terbabit.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, setelah mengadakan kajian serta membuat tinjauan ke beberapa kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi berhadapan masalah itu, Kerajaan Negeri akhirnya memutuskan satu peruntukan segera diluluskan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
Ia bagi membaiki sistem perparitan sedia ada agar ia tidak memberi kerumitan kepada orang ramai ketika berhadapan musim banjir yang biasanya tiba pada penghujung tahun nanti.

Beliau berkata, dengan projek menaik taraf sistem perparitan di kawasan berkenaan, ia dapat mengurangkan masalah takungan air yang boleh menyebabkan berlakunya banjir kilat yang dipercayai berpunca daripada sistem perparitan sedia ada yang kurang sempurna.

“Ini adalah lawatan saya yang terakhir bagi daerah untuk memastikan pembaikan jalan dan longkang dalam kerajaan tempatan.
Kita bersetuju untuk meluluskan peruntukan sebanyak RM13 juta kepada MPD bagi melaksanakan kerja pembinaan longkang dan jalan, termasuk pelebaran jalan RM35 juta.

“Ini menjadikan jumlah untuk peruntukan pembinaan longkang bagi Daerah Dungun selama dua tahun bagi 2010 dan 2011 sebanyak RM34 juta, yang tidak siap kita akan bawa ke hadapan.
Saya percaya ia dapat menyelesaikan banyak sistem perparitan dan kita akan beri penekanan pada ‘monsoon drain’,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Dungun, pagi semalam.

Ketika ditanya sikap masyarakat yang suka membuang sampah sehingga menjejaskan aliran sistem perparitan Ahmad yang turut kesal dengan isu berkenaan berkata, biarpun kerajaan telah menyediakan peruntukan yang besar untuk membersihkan longkang, namun sikap penduduk yang suka membuang sisa buangan ke dalam longkang menyebabkan saliran utama itu tersumbat sehingga menjejaskan aliran serta menyebabkan berlakunya banjir kilat.

:“Longkang bukan tempat membuang sampah, itu masalah kita, orang kita tidak rasa bersalah, bila ada longkang tersumbat, mereka menyalahkan kerajaan, tong sampah sudah disediakan tapi mereka tetap buang merata,” kata Ahmad.

Sementara itu Yang Dipertua MPD, Zainal Abidin Hussin ketika diminta mengulas peruntukan yang diluluskan Menteri Besar itu berkata, melalui projek menaik taraf sistem perparitan itu, ia diharap dapat menyelesaikan masalah puluhan ribu warga Dungun yang terpaksa berhadapan pelbagai kesulitan berikutan kejadian banjir kilat pada musim tengkujuh.

“Ia adalah sebahagian daripada usaha kerajaan melalui PBT untuk memberi keselesaan kepada orang ramai, khususnya berkaitan kemudahan asas sesuai dengan slogan MPD iaitu ‘Merakyatkan Perbandaran,” kata Zainal.

No comments:

Post a Comment