Tuesday, April 27, 2010
Satu tapak rumah untuk setiap rakyat
AHMAD (dua dari kiri) menyampaikan geran hak milik tanah kepada seorang penerima kawasan DUN Chukai.
Kerajaan negeri serius terhadap isu pemilikan tanah dan akan berusaha untuk memastikan setiap rakyat negeri itu memiliki satu tapak untuk didirikan rumah yang selesa.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, bagi memastikan setiap rakyat mendapat tanah, kerajaan negeri merumus peraturan melarang rakyat Terengganu daripada mendapat lebih daripada satu lot tanah anugerah.
"Kerajaan juga menetapkan syarat tapak rumah yang diberikan itu perlu didirikan rumah kediaman dalam tempoh antara dua hingga lima tahun bagi mengelak ditarik balik,” katanya.
Ahmad Said berkata, kerajaan negeri juga tidak membenarkan mereka yang diberikan hak milik untuk menjual atau menggadaikan tanah dalam tempoh 10 tahun dan jika keadaan itu berlaku mereka akan disenarai hitam daripada menerima tanah lain.
Beliau menyatakan demikian ditemui selepas majlis penyerahan geran tanah di Cukai kelmarin.
Pada majlis itu, seramai 203 penduduk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai menerima hak milik tanah. Hadir sama pada majlis itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai, Datuk Mohamed Awang Tera dan Adun Air Putih Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar.
Yang pasti, kegembiraan dan rasa syukur jelas tergambar pada wajah 203 penduduk di daerah ini kerana doa untuk memiliki tanah sendiri termakbul selepas lebih 10 tahun menanti apabila Menteri Besar, Datuk Ahmad Said menyampaikan geran hak milik tanah, baru-baru ini.
Seorang penerima yang ditemui, Ali Yusof, 51, dari Kampung Mak Chili berkata dia gembira dan terharu apabila menerima geran hak milik tanah tapak rumah yang diduduki sejak lebih lima tahun lalu daripada Menteri Besar.
"Pembahagian geran tanah ini membuktikan kerajaan negeri memang bersungguh-sungguh untuk membela nasib rakyat sekali gus memastikan setiap rakyat dapat memiliki tanah sendiri bagi membina rumah kediaman yang lebih selesa,” katanya.
Beliau yang berkerja sebagai pemandu teksi berkata, sukar untuk membeli tanah sebagai tapak rumah kerana harga yang terlalu mahal dan dengan tanah yang dianugerahkan kerajaan negeri itu beliau perlu membayar sekitar RM2,000 saja.
Penerima lain, Wali Supiah, 57, berkata tapak tanah yang diberikan kerajaan negeri itu membolehkannya merealisasikan impian untuk membina rumah sendiri di Kampung Mak Lagam.
"Saya gembira kerana mendapat geran tanah dan menganggap penantian sekian lama ini berakhir dengan baik,” katanya yang mendakwa pendapatannya sebagai pesara tidak cukup untuk membeli tanah dan membina rumah.
Bagi Foo Chew Pock, 60, dari Kampung Pengkalan Sir pula berkata, hak milik tanah yang diperoleh itu menamatkan penantian sejak lebih 10 tahun dan dia tidak perlu menyewa kerana kini boleh membina rumah sendiri di tapak yang disediakan.
"Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri yang prihatin terhadap masalah rakyat dan memastikan setiap penduduk negeri ini memiliki tanah untuk didirikan kediaman selesa,” katanya yang hampir putus harap sebelum ini.
No comments:
Post a Comment