Tindakan seorang pemilik kedai runcit menyimpan stok bekalan gula dalam kuantiti yang berlebihan membawa padah apabila premisnya diserbu pihak berkuasa.
Sebanyak 5.520 tan metrik gula bernilai kira-kira RM9,000 dirampas dalam serbuan oleh anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) pada pukul 1 petang kelmarin.
Pengarah KPDNKK Terengganu Mohd Hilmi Mohd Nor berkata pihaknya turut menahan seorang lelaki berumur 68 tahun yang merupakan pemilik kedai runcit di Jalan Yahaya Ahmad, Sura Gate itu.
Siasatan dibuat berikutan laporan yang menyatakan peniaga di premis berkenaan meminta pelanggan menunjukkan surat nikah sebelum membenarkan pembelian gula, katanya.
Mohd Hilmi berkata pihaknya membuat pemeriksaan di kedai terbabit selepas anggota KPDNKK yang menyamar sebagai pelanggan tidak dibenar membeli gula melebihi satu kilogram dan diminta menunjukkan pengenalan diri terlebih dahulu.
Pemilik kedai runcit itu akan didakwa mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya sekali.
No comments:
Post a Comment