Monday, May 10, 2010

Pemohon Terengganu antara 400 Berketurunan Cina Mohon Sertai SPRM

Hasrat Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menambah bilangan anggota daripada kalangan kaum Cina bakal menjadi kenyataan apabila 400 pemohon berketurunan Cina
menghadiri sesi temuduga bagi mengisi jawatan pegawai siasatan dan penolong pegawai siasatan sempena Hari Kerjaya SPRM semalam.

Di kalangan pemohon, ada yang datang dari Terengganu. Perak, Pulau Pinang dan beberapa negeri lain.
Rata-rata mereka yang ditemui pada sesi temuduga di Dewan Perniagaan Cina Kuala Lumpur di sini melahirkan rasa terharu dan berterima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan ruang sedemikian dan berikrar untuk berkhidmat dengan sebaiknya sekiranya ditawarkan ke jawatan itu.

Bagi mereka usaha itu adalah sesuatu yang amat baik kerana kebiasaannya masyarakat Cina kurang terdedah dan diberikan peluang untuk menyertai sektor kerajaan.

Mereka juga berharap usaha itu tidak hanya tertumpu kepada SPRM sahaja sebaliknya mahu jabatan-jabatan lain juga terlibat sama dalam memberikan peluang kepada kaum Cina kerana biasanya mereka kurang terdedah dengan maklumat bagaimana untuk memohon menjadi penjawat awam.

Tay Sue Yean, 23, berpendapat SPRM sepatutnya menawarkan lebih banyak jawatan kerana mereka seharusnya sedar peluang sebegini biasanya tidak akan dilepaskan begitu sahaja malahan kaum lain yang fasih berbahasa Mandarin juga akan turut sama memohon walaupun ia hanya ditawarkan kepada kaum Cina.

"Ini program yang bagus sebab boleh tarik lebih ramai kaum Cina menyertai agensi kerajaan tetapi lagi baik sekiranya lebih banyak jawatan disediakan.

"Sepatutnya skop jawatan juga perlu diperluaskan kerana ia bukan sahaja akan dipohon oleh kaum Cina malah kaum lain yang fasih berbahasa Mandarin juga tidak akan lepaskan peluang ini. Lebih baik sekiranya pemohon ditawarkan jawatan tetap bukannya kontrak seperti ini," katanya yang berasal dari Terengganu.

Sim Tik Hooi, 30, berkata peluang yang disediakan SPRM adalah sesuatu yang dinantikan kerana bagi kaum Cina, bukanlah sesuatu yang mudah untuk mereka menyertai perkhidmatan jabatan kerajaan.

"Bagus, sekurang-kurangnya kerajaan memberikan peluang kepada kaum Cina untuk bekerja bersama SPRM dan usaha baik ini patut diteruskan," katanya yang sanggup datang daripada Teluk Intan, Perak semata-mata untuk menghadiri temuduga itu.

Chan Saw Seng, 26, dari Pulau Pinang berkata beliau mengambil kesempatan untuk menghadiri temuduga itu walaupun terpaksa menempuh perjalanan jauh keranan menyedari kurang daripada kalangan kaum Cina berkhidmat dalam sektor awam.

Chan berkata dia akan menggunakan kelebihannya menguasai bahasa Mandarin dan Hokkien selain bahasa Inggeris untuk cuba memikat panel penilai kerana sebagai badan yang banyak terlibat dalam aktiviti siasatan, SPRM memerlukan petugas fasih dalam pelbagai bahasa.

Sementara itu, Penolong Pesuruhjaya SPRM (Bahagian Pengurusan dan Kecemerlangan) Zainal Adam ketika ditemui berkata pihaknya menerima 400 permohonan.

"Semua borang permohonan akan dihantar kepada SPA (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam) untuk perincian sebelum pemohon disenarai pendek untuk dipanggil temuduga oleh SPRM dalam tempoh tiga minggu dari sekarang.

"Kita berharap kedua-dua jawatan itu akan diisi sepenuhnya Jun ini," katanya yang turut mengakui menerima permohonan daripada pemohon berbangsa Melayu.

SPRM menawarkan sebanyak 40 jawatan kosong sebagai pegawai siasatan dan penolong pegawai siasatan di mana pengambilan bagi jawatan kontrak selama tiga tahun itu diperlukan bagi mengisi kekosongan di seluruh negara.

No comments:

Post a Comment