Saturday, May 8, 2010

Terengganu antara lima hab jual bahan binaan

Kementerian Kerja Raya akan menubuhkan lima lagi hab penjualan bahan binaan yang dikeluarkan syarikat bumiputera bagi memudahkan kontraktor mendapatkan bekalan.

Menterinya, Datuk Shaziman Abu Mansor memberitahu, lima hab itu akan dibuka di Terengganu, Pahang, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

"Lima hab jualan yang telah beroperasi adalah Konsortium Hardware di Melaka; Konsortium Bahan Binaan di Selangor; Konsortium Bahan Binaan Utara di Kedah; Hab Bekal di Johor, Koperasi Bahan Binaan Bumiputera di Perak dan Trade Hab di Kelantan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat Bina Integrated Industries Sdn. Bhd. (Bina IT) iaitu salah sebuah syarikat pengeluar bahan binaan bumiputera yang berjaya di bawah bimbingan Kementerian Kerja Raya di Kuala Lumpur semalam.

Bina IT merupakan syarikat bumiputera yang mengeluarkan produk kalis air dan cat bagi kegunaan industri serta telah mencapai penjualan produk melebihi RM1 juta setahun.

Shaziman memberitahu, penubuhan hab-hab jualan bahan binaan ini bagi memastikan kontraktor bumiputera dapat membeli bahan binaan pada harga yang lebih murah dan berkualiti.

Katanya, bahan-bahan binaan yang dibekalkan di hab-hab tersebut dibekalkan oleh syarikat-syarikat yang bernaung di bawah Bahagian Pembangunan Usahawan Bumiputera (BPB) Kementerian Kerja Raya.

''Pada masa ini terdapat 500 syarikat bumiputera bernaung di bawah BPB yang mana sebanyak 100 daripada syarikat terbabit telah berjaya mencatatkan jualan melebihi RM1 juta.

''Kemampuan syarikat-syarikat bumiputera ini mencatat jualan yang baik berikutan langkah kementerian memastikan hubungan dan jaringan di kalangan pengilang, pengedar dan kontraktor diperkukuhkan di bawah BPB,'' ujarnya.

Beliau memberitahu, sasaran kementerian bagi pembangunan syarikat- syarikat di bawah BPB ini ialah dapat membekalkan bahan-bahan binaan ke luar negara.

Katanya, pada masa ini banyak syarikat besar negara mendapat kontrak pembinaan di luar negara seperti di Asia Barat, China dan India.

''Apa yang kementerian harapkan adalah syarikat-syarikat ini akan membeli bahan binaan dari syarikat-syarikat bumiputera ini dalam projek-projek mereka di luar negara,'' katanya.

Shaziman juga berkata, kementerian sedang mengadakan rundingan dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk membimbing pelajar lepasan pusat-pusat latihan kemahiran agensi itu untuk dilatih menjadi pembekal-pembekal bahan binaan negara.

Katanya, banyak peluang dalam bidang pembekalan bahan binaan di negara ini terutama bagi Sistem Binaan Industri (IBS) yang sedang berkembang pesat di Malaysia.

"IBS merupakan sistem pembinaan pasang siap dan ia banyak diaplikasi di luar negara seperti di Taiwan dan Korea, maka Malaysia perlu mempunyai lebih banyak syarikat yang mengeluarkan IBS untuk pasaran tempatan dan luar negara," tambahnya.

Sementara itu ditanya mengenai bantahan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar terhadap pembinaan jalan Lingkaran Luar Kuala Lumpur (LLKL) bagi penyuraian trafik ke pusat bandar, Shaziman menegaskan sebarang projek perlu mematuhi memenuhi peraturan Penilaian Alam Sekitar (EIA).

"Kerajaan hanya akan melaksanakan projek itu sekiranya ia mendapat kelulusan EIA dan selagi tidak mendapat kelulusan projek itu tidak akan dilaksanakan," katanya.

Beberapa NGO alam sekitar membantah pembinaan LLKL kerana ia akan memusnahkan Taman Rimba Ampang yang merupakan kawasan tadahan air bagi Kuala Lumpur dan Selangor.

No comments:

Post a Comment