Terengganu kekal di tangga ketiga liga dengan 37 mata apabila sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Kuala Lumpur di Stadium Bola sepak Kuala Lumpur di Cheras.
Terengganu di depan hasil jaringan Ashaari Samsudin pada minit ke-52, sebelum Badrul Hisyam Azmi menyamakan kedudukan melalui sepakan penalti di minit ke-69.
T-Team pula gagal menggunakan kesempatan aksi di gelanggang sendiri di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, apabila seri 2-2 dengan Kedah walaupun Azrul Azwan Aminuddin meletakkan pasukan tuan rumah di depan pada minit ke-44.
Kedah menyamakan kedudukan pada minit ke-48 melalui Shahrulnizam Mustapha dan Baddrol Bakhtiar meletakkan pasukan pelawat di depan pada minit ke-68, sebelum Harizul Izuan Abd. Rani muncul wira dengan gol penyamaan buat T-Team empat minit sebelum perlawanan tamat.
Pendahulu Liga Super, Selangor mencatat kemenangan kali ke-10 berturut-turut sejak April lalu apabila berjaya menewaskan Perlis 2-0 di Stadium Shah Alam semalam seterusnya mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Liga Super.
Rudie Ramli muncul wira buat pasukan bimbingan K. Devan selepas menjaringkan gol pada minit kelapan dan 63, yang menewaskan penjaga gol lawan, Mohd Farizal Marlias.
Ini bermakna Selangor mengekalkan kelebihan lapan mata berbanding pencabar terdekat, Kelantan apabila menewaskan Perlis 2-0 di Stadium Shah Alam, Sabtu malam.
Selangor kini mengumpul 50 mata secara keseluruhan.
Kelantan pula mengumpul 42 mata setelah bangkit menewaskan Pulau Pinang 3-1 di Stadium Batu Kawan setelah tersentak dengan gol awal tuan rumah melalui Chun Ken Hong pada minit ke-22.
Skuad bimbingan B.Sathianathan itu bangkit dengan tiga gol pada separuh masa kedua melalui Hairuddin Omar (m-66), Akmal Rizal Ahmad Rakhli (m-75) dan Che Hishammuddin Hassan (m-88).
Dalam pada itu, jaringan tunggal Azizan Baba pada minit ke-82 membolehkan Johor FC menumpaskan Perak 1-0 di Stadium JCorp di Pasir Gudang untuk berada di tempat keempat dengan 32 mata.
Negeri Sembilan pula kembali menjumpai sentuhan kemenangan apabila membelasah Johor 3-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dengan Abdul Halim Zainal membuka jaringan seawal minit ketiga permainan untuk tuan rumah.
Penyerang kebangsaan, Mohd Zaquan Adha Abd Radzak turut menemui sentuhan gol apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-65 dan 78 manakala gol saguhati pelawat dijaringkan melalui L.Rajesh pada minit ke-77.
No comments:
Post a Comment