Oleh Aida Ab Rahman (UKOM)
Kerajaan negeri Terengganu akan menyertai lebih banyak pameran keusahawanan di peringkat antarabangsa dalam usaha memperkenalkan produk tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Mohamed Awang Tera berkata ekspo dan pameran seumpama itu dilihat medan terbaik dalam memperkenalkan produk tempatan ke peringkat antarabangsa.
"Ini dapat dilihat dalam ekspo keusahawanan di Dubai baru-baru ini, di mana kita berjaya memperolehi RM6.7 juta hasil jualan produK tempatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Industri Desa kelmarin.
Beliau berkata sambutan masyarakat antarabangsa terhadap produk Terengganu memang sangat menggalakkan, tetapi ia kurang diberikan pendedahan.
Dalam hal ini, Mohamed berkata usahawan perlu mengkaji dan meningkatkan mutu barangan mereka bagi membolehkan barangan mereka memasuki pasaran antarabangsa.
Menurutnya ekspo kali ini mendapat sambutan menggalakkan dengan 86 peserta, kebanyakannya terdiri daripada usahawan baru.
Katanya ekspo tahun ini menampilkan kategori yang lebih fokus terhadap industri makanan dan pertanian, produk kesihatan dan kosmetik, tekstil dan pakaian serta industri perabot.
No comments:
Post a Comment