Friday, June 25, 2010

35 Orang Asli bakal terima lesen motosikal

Abdul Rahman Emang Anyie (dua dari kanan) bermesra dengan komuniti Orang Asli ketika mengadakan kursus memandu dalam program 1Komuniti 1JPJ di perkampungan Orang Asli Sungai Berua, Hulu Terengganu, kelmarin.

Seramai 35 lelaki Orang Asli di Sungai Berua dekat sini bakal menerima lesen motosikal daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sekali gus menjadi kumpulan pertama dalam kalangan masyarakat pribumi di negeri ini memiliki lesen itu.

Pemberian lesen itu adalah inisiatif JPJ Terengganu dalam menjayakan program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) selain menyahut seruan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said sebelum ini, agar masyarakat Orang Asli turut diberi lesen seperti komuniti lain.

Pengarah JPJ Terengganu, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, daripada jumlah itu, seramai 25 lelaki Orang Asli mengikuti ceramah JPJ di kawasan penempatan Orang Asli di Sungai Berua dan kemudian mengambil ujian lisan.Menurutnya, mereka kemudian menjalani tempoh matang selama sebulan sebelum menerima lesen B2 dan P daripada JPJ pada majlis penutup program SKSJ di Sungai Berua pada 6 dan 7 Ogos ini nanti.

"Silibus dan prosedur lebih kurang sama dengan apa yang disediakan di institut-institut memandu, cuma bezanya untuk Orang Asli, mereka diberi kelonggaran menjalani ujian lisan selain syarat usia 21 tahun ke atas dan kosnya ditanggung kerajaan negeri.

"Sedangkan di institut memandu, ujian berkomputer dikenakan selain syarat umur 40 dan 45 tahun ke atas untuk orang biasa," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada sesi ceramah kepada Orang Asli di Kampung Sungai Berua dekat Kuala Berang kelmarin.

Menurut Abdul Rahman, pada masa sama, kira-kira 300 orang yang berumur 45 tahun ke atas turut diberi ceramah serupa di Felcra Bukit Kepah dekat sini dan kesemua 335 orang termasuk 35 Orang Asli akan menerima lesen masing-masing pada majlis penutupan program awal Ogos ini.

Beliau menjelaskan, upacara penyerahan lesen pada majlis penutupan itu nanti dijangka disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu selain turut dihadiri Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hasan.

Katanya, program tersebut merupakan kali kedua diadakan di negeri ini oleh JPJ selepas di Felda Tenang, Besut pada penghujung April dan awal Mei lalu.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment