Kakitangan Sutera Beach Resort & Spa menyorong kerusi roda warga emas untuk dihantar ke bilik penginapan masing-masing di Setiu, Terengganu, kelmarin.
Tiga warga emas dari Taman As-Syakirin, Saujana dekat sini terharu apabila Sutera Beach Resort & Spa, Merang meraikan mereka dalam satu majlis sempena sambutan Hari Bapa semalam.
Mereka yang diraikan itu ialah Ibrahim Idris, 90, Yusof Taib, 82, dan Mohd. Nor Mamat, 72,.
Ketiga-tiga penghuni Taman As-Syakirin itu gembira dan terharu kerana sebelum ini mereka tidak pernah dirai atau dilayan oleh mana-mana pihak dalam majlis seumpama itu.
Ibrahim berkata, pada mulanya dia terkejut apabila diberitahu pusat peranginan itu akan meraikan mereka dalam sambutan Hari Bapa yang tidak pernah dialaminya sejak dari dulu sehingga sekarang.
''Pak cik terkejut bukan apa kerana saya sudah tua tetapi masih ada orang lain yang bersimpati dengan nasib kami apatah lagi untuk meraikan dalam majlis seperti ini.
''Sungguhpun begitu, kami begitu gembira kerana semasa berada di Sutera Beach kami dilayan serta dijamu dengan kuih muih yang menyelerakan," katanya yang tinggal di Taman As-Syakirin sejak lima tahun lalu.
Yusof pula ketika ditemui memberitahu, dia bukan sahaja terharu malah menangis kerana kegembiraan setelah mereka diberi penghargaan sempena Hari Bapa yang biasanya disambut bersama ahli keluarga yang tersayang.
Warga emas itu berkata, jika Hari Bapa disambut dengan anak-anak sudah tentu majlis seumpama itu menjadi meriah serta bermakna dalam hidupnya.
''Tetapi pak cik ibarat hidup sebatang kara kerana tidak mempunyai anak walaupun sebelum ini pakcik pernah berkahwin, sudah tentu majlis yang dianjurkan oleh Sutera Beach begitu menyeronokkan.
''Pakcik berkata begini kerana masih ada pihak lain yang sudi berkongsi masalah kami yang biasanya disisihkan oleh masyarakat," katanya yang sudah kematian isterinya kira-kira lapan tahun lalu.
Sementara itu, Pengarah Pemasaran Sutera Beach Resort & Spa, Amilia Alias berkata, tiga warga emas tersebut yang diraikan Hari Bapa diberi penginapan satu malam secara percuma selain makan minum serta barangan hamper.
Menurutnya, program yang dianjurkan itu merupakan salah satu aktiviti pihaknya untuk mendekatkan diri dengan masyarakat terutamanya golongan yang kurang berkemampuan supaya mereka tidak berasa terpinggir.
''Bulan lepas, kami juga telah meraikan seorang ibu tunggal, Jenab Mohd, 44, dari Kampung Batu Rakit, Kuala Terengganu dalam majlis sempena Hari Ibu," ujarnya.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment