Friday, June 11, 2010

Pesalah Trafik Tetap Disenaraihitamkan Walaupun Tidak Terima Notis Saman

Pesalah trafik yang gagal membayar saman dalam tempoh dua bulan akan disenaraihitamkan walaupun mereka tidak menerima notis saman kerana telah bertukar alamat tempat tinggal.

Timbalan Ketua Trafik Persekutuan ACP Mohd Fuad Abd Latiff berkata pemilik kenderaan perlu mengemaskini alamat terakhir mereka dalam kad pengenalan dan lesen memandu bagi mengelak daripada tidak menerima notis saman.

Katanya kegagalan mengemaskini alamat akan menyukarkan proses penghantaran surat atau notis saman yang telah dikeluarkan kepada pesalah trafik.

"Dari sudut perundangan, selepas kamera merakam gambar nombor pendaftaran kenderaan yang dikenalpasti melanggar had laju, misalnya, surat akan dihantar kepada pemilik kenderaan berdasarkan alamat terakhir mereka," katanya
hari ini.

"Sama ada pengguna terima atau tidak (notis saman), kita sudah menjalankan tugas dan dalam tempoh dua bulan, jika gagal memberikan respons, nama mereka akan disenaraihitam," katanya.

Beliau berkata saman yang dikeluarkan itu atau 'saman ekor' perlu dijelaskan sebelum dapat memperbaharui cukai jalan dan insurans kenderaan.

Bagi kesalahan pada beberapa tahun lepas, kompaun atau diskaun masih lagi dalam perbincangan bersama pihak berkuasa lain termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), katanya.

Pengguna jalan raya boleh memeriksa sama ada mereka mempunyai saman trafik atau disenaraihitamkan dengan melayari laman web http://www.rilek.com.my, http://www.myeg.com.my atau http://www.eservices.com.my

No comments:

Post a Comment