Sunday, June 20, 2010

Sukan Sebahagian Agenda Utama Pembangunan Negara

Pasukan Terengganu yang muncul juara keseluruhan selepas berjaya memperoleh 47 pingat emas, 30 perak dan 43 gangsa.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sukan akan dijadikan sebahagian daripada agenda utama pembangunan negara kerana ia memberi banyak faedah kepada rakyat dan negara.

Beliau berkata kerajaan akan memastikan sukan bukan kegiatan pinggiran, sebaliknya menjadi satu kegiatan utama negara.

"Saya percaya kejayaan dalam sukan boleh memberi banyak faedah kepada negara, industri sukan, imej sebagai sebuah negara dan kepada diri kita sebagai seorang individu," katanya semasa berucap menyempurnakan majlis penutup Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-13 Melaka di Stadium Hang Jebat di Melaka malam semalam.

Selaku tuan rumah kali ini, Melaka menawarkan sebanyak 382 pingat emas daripada 33 jenis sukan yang dipertandingkan sejak 7 Jun lepas, walaupun tarikh rasmi pertandingan ialah pada 10 Jun, di 33 gelanggang di seluruh negeri yang membabitkan tiga daerah di negeri itu.

Berucap di hadapan kira-kira 50,000 hadirin, Perdana Menteri berkata penglibatan dalam bidang sukan boleh melahirkan modal insan cemerlang dan seimbang daripada segi kerohanian dan fizikal.

Olahragawan J.Karthik dari Melaka dan olahragawati Chan Kah Yan dari Wilayah Persekutuan

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan anugerah Piala Perdana Menteri kepada pasukan Terengganu yang muncul juara keseluruhan selepas berjaya memperoleh 47 pingat emas, 30 perak dan 43 gangsa.

Terdahulu semasa berucap, Mohd Ali berkata sebagai tuan rumah, kerajaan Melaka mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi komitmen tinggi bagi menjayakan temasya itu.

Beliau berkata kerajaan Melaka memberi jaminan untuk mengurus dan menyelenggara dengan baik semua venue selepas berakhirnya SUKMA ini dengan mencontohi Florida.

Mohd Ali turut mencadangkan kepada Kementerian Belia dan Sukan supaya mewujudkan akademi sukan di setiap negeri bagi melahirkan lebih ramai atlet kebangsaan dan Melaka sedia menawarkan diri untuk menjadi negeri pertama menubuhkan akademi itu.

Sementara itu, perenang sensasi Wilayah Persekutuan, Chan Kah Yan, 18, diumumkan sebagai Olahragawati Terbaik manakala atlet olahraga tuan rumah, J. Karthik, 21, dinobatkan sebagai Olahragawan Terbaik temasya SUKMA kali ini.

Majlis bersejarah itu kemudiannya diteruskan dengan persembahan tarian yang memaparkan seni kebudayaan rakyat negeri Melaka dan diikuti upacara menurunkan bendera dan memadamkan obor kejohanan.

Ketua Menteri Melaka kemudiannya menyerahkan bendera kejohanan kepada Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, selaku tuan rumah SUKMA pada 2012.

Ia disusuli dengan persembahan kebudayaan dan kesenian Pahang sebagai tanda mengalu-alukan dan menjemput semua kontinjen untuk menyertai SUKMA di negeri itu.

No comments:

Post a Comment