Sunday, June 13, 2010

Sukma terima kunjungan Yang di-Pertuan Agong, MB Terengganu

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah menyaksikan pertandingan Endurance Individu Sukma XIII di Pusat Ekuestrian Hang Jebat di Melaka, petang kelmarin.

Sukan Malaysia (Sukma) XIII Melaka 2010 kelmarin menerima kunjungan tetamu kehormat apabila Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah hadir menyaksikan Ekuestrian bagi acara endurance 80 kilometer (km) di Pusat Ekuestrian Hang Jebat.


Seri Paduka bukan sekadar hadir untuk menyaksikan acara kegemaran baginda tetapi memberi semangat kepada dua anakandanya, iaitu Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan kekandanya, Tengku Nadhirah Zahrah mengetuai skuad Terengganu menyertai acara endurance 80km.

Turut hadir ialah Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said dan Ahli Exco Kerajaan negeri Melaka.

Tengku Muhammad yang menunggang kuda diberi nama Skarbek Nkalakata bergandingan dengan Tengku Nadhirah Zahrah menaiki kuda Rtes Catalina bersama-sama Shahruddin dan M. Alif Sabidi bertanding dalam acara berpasukan endurance 80km dalam usaha untuk memburu emas dalam acara ekuestrian.

Seramai 31 peserta mengambil bahagian dan acara pelepasan telah disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam kira-kira pukul 5.30 petang.

Peserta disyaratkan menamatkan saingan hingga pukul 2 pagi semalam. Setiap peserta akan melalui laluan penuh berliku-liku sepanjang 80km melalui empat fasa iaitu melalui Jambatan Kebun Kacang, Kerubong Jaya, Kerubong Perdana, Bukit Beringin dan Ladang Chong Fatt Seng.

Selain Terengganu yang mengambil bahagian pasukan lain turut bertanding ialah tuan rumah Melaka, Johor, Pahang, Kedah dan Wilayah Persekutuan.

No comments:

Post a Comment