Tuesday, June 15, 2010

Taman Sinar Harapan Bukit Besar jadi perintis Pusat Kecemerlangan OKU

Kerajaan dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Negara (YKN) akan mewujudkan pusat kecemerlangan untuk meningkatkan modal insan dan melahirkan kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang berdikari.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata Taman Sinar Harapan Bukit Besar, di Kuala Terengganu akan dijadikan projek perintis untuk perancangan itu.

"Jika projek perintis ini berjaya, ia akan dilaksanakan di semua taman sinar harapan seluruh negara," katanya selepas majlis penyampaian Sumbangan YKN di di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata Taman Sinar Harapan Bukit Besar kini menempatkan 76 kanak-kanak kelainan upaya berumur 14 tahun ke bawah terdiri daripada lelaki dan perempuan dan daripada pelbagai bangsa dan agama.

Katanya kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran itu boleh dilatih untuk berdikari atau sekurang-kurangnya berupaya untuk bekerja menerusi teknologi pendidikan canggih yang akan disediakan dalam projek berkenaan.

"Antara pengisiannya ialah penyediaan modul pembelajaran yang bersesuaian seperti terapi muzik berinovasi yang mengikut pakar akan membantu golongan ini meningkatkan kegunaan motor dan kognitif anggota badan mereka.

"Selain itu beberapa program lain seperti program pemerkasaan ekonomi juga akan diperkasa kerana kita mahu pastikan bila kita serahkan mereka kepada komuniti mereka berupaya untuk kerja dan berdikari," katanya.

Katanya perancangan terbaru kerajaan itu bertujuan memastikan khidmat yang diberikan kepada OKU seluruh negara kekal relevan dan berupaya membantu golongan itu.

Shahrizat berkata YKN juga menyerahkan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada Taman Sinar Harapan Bukit Besar bagi menampung keperluan penambahbaikan taman terapi yang lebih dikenali dengan nama Taman Teraputik YKN.

No comments:

Post a Comment