Thursday, June 24, 2010

Tengku Muhammad gah pada kejohanan kuda lasak di Perancis

TENGKU Muhammad Ismail menamatkan saingan di tempat kedua Kejohanan Kuda Lasak RTES/D"Armor French Open Championship Corlay, Perancis.

Sukan Malaysia mencatat satu lagi berita menggembirakan di pentas antarabangsa apabila Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin menamatkan saingan di tempat kedua Kejohanan Kuda Lasak RTES/D"Armor French Open Championship Corlay, Perancis dari 18 hingga 20 Jun 2010 dalam kategori 90 kilometer.

Keberangkatan Baginda menyertai kejohanan itu turut diiringi Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah serta empat penunggang Malaysia termasuk Tengku Sri Temenggong Raja Terengganu Tengku Baharuddin Sultan Mahmud.

Tengku Muhammad Ismail yang menunggang kuda diberi nama Melchoir D'Ecovers menyinar dengan menamatkan saingan dalam masa enam jam 6 minit dan 41 saat dengan purata kelajuan 15.054km sejam bagi menduduki tempat kedua daripada 15 peserta yang mengambil bahagian.

Dua lagi penunggang negara yang berjaya menamatkan saingan ialah Abdul Asri dengan catatan enam jam 6 minit 44 saat, dengan purata kelajuan 15.052km sejam di tempat kelima dan Nor Nadia di tempat keenam dengan catatan masa 6:25:09 saat, dengan purata kelajuan 14.332 km sejam.

Kejohanan itu dimenangi Le Bleis Gildas yang menunggang Kalifth, dalam catatan masa lima 26 minit 59 saat dengan purata kelajuan 16.882km sejam.

Ini penyertaan kali kedua Tengku Muhammad Ismail di peringkat antarabangsa selepas menyertai kejohanan yang sama dalam kategori 60km tahun lalu.

No comments:

Post a Comment