Friday, June 25, 2010

Terengganu belum tentukan syarikat konsesi uruskan sisa pepejal

Persidangan Dewan Rakyat diberitahu semalam bahawa isu konsesi pengurusan sisa pepejal oleh syarikat konsesi akan dimuktamadkan tahun depan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Chor Chee Heung berkata ketika ini perjanjian antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan syarikat konsesi adalah secara interim iaitu bagi tempoh setahun ke setahun.

Katanya kegagalan memuktamadkan perjanjian konsesi adalah disebabkan masalah teknikal di lima negeri termasuk Pulau Pinang, Perak, Terengganu dan Kelantan yang masih belum memberikan persetujuan untuk menerima syarikat konsesi bagi menguruskan sisa pepejal.

"Saya sudah membuat resolusi selaras Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) iaitu mulai tahun depan kita akan muktamadkan segala isu konsesi mengenai pengambilalihan pengurusan sisa pepejal oleh syarikat konsesi yang diberikan kerajaan," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Azmi Khalid (BN-Padang Besar).

Azmi mempersoalkan tempoh interim perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam oleh syarikat konsesi sedangkan ia sudah bermula pada 1996 dan difahamkan keputusan memuktamadkan perjanjian dibuat pada 2007.

Chor berkata sistem tapak pelupusan sampah akan terus digunakan sekurang-kurangnya bagi tempoh dua hingga tiga tahun lagi sebelum kerajaan dapat melaksanakan sistem pengurusan sisa pepejal dengan sempurna mengikut teknologi baru termasuk teknologi plasma.

"Kerajaan menyedari sistem tapak pelupusan sampah adalah sistem yang ketinggalan zaman dan kerajaan akan memberi tumpuan untuk memperkenalkan sistem lebih berteknologi tinggi," katanya.

Menjawab soalan asal Azmi, Chor berkata di bawah konsep interim, syarikat konsesi mengambil alih perkhidmatan dilaksanakan oleh PBT dengan kos perkhidmatan dibayar kepada pihak konsesi pada jumlah sama dengan perbelanjaan dibuat PBT sejak lebih 10 tahun lalu.

Selain itu, katanya syarikat konsesi menghadapi masalah untuk mendapat bayaran dalam tempoh ditetapkan daripada kebanyakan PBT dan lebih menyukarkan lagi tempoh interim menyulitkan mereka untuk mendapat pinjaman daripada institusi kewangan.

Beliau berkata keadaan itu dapat diselesaikan apabila penswastaan penuh dilaksanakan kelak dengan pihak syarikat akan mendapat suntikan kewangan baru di samping boleh menggunakan perjanjian konsesi penuh sebagai kolateral dalam mendapatkan pinjaman kewangan yang diperlukan.

"Terutamanya dalam perolehan aset-aset termasuk kenderaan baru bagi menjamin mutu pengurusan sisa pepejal yang lebih teratur dan efisien," katanya.

No comments:

Post a Comment