Wednesday, June 9, 2010

UMT perkenal sistem e-Cube



















PROF. Dr. Aziz Deraman (kiri) diberi penerangan mengenai jantung semasa melawat pameran 'Hanya Dikau Yang Satu, Sayangilah Jantung Anda' di UMT, Kuala Terengganu, semalam.

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjadi universiti pertama di negara ini yang memperkenalkan sistem pengurusan lanjutan pengajian di kalangan kakitangan secara online yang dikenali sebagai 'e-cuti belajar' (e-Cube).

E-Cube adalah sistem yang membolehkan maklumat pengajian kakitangan dikemas kini dengan pantas selain mempercepatkan pemberitahuan sebarang maklumat serta memudahkan pemantauan oleh pihak universiti.

Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Aziz Deraman berkata, melalui sistem tersebut, kakitangan yang melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) di universiti dalam atau luar negara boleh mengakses maklumat terkini dari pihak universiti.


Katanya, sistem tersebut juga memudahkan pihak universiti memantau perkembangan serta laporan pengajian mereka secara lebih sistematik.


"Sistem yang baru diguna pakai pada 1 Jun lalu membolehkan kakitangan yang melanjutkan pelajaran di peringkat PhD mudah untuk mengakses maklumat daripada pihak universiti dan sebaliknya.

"Pelaksanaan sistem tersebut bertujuan mempercepatkan proses pengurusan di kalangan kakitangan universiti itu merangkumi proses memaklum, menerima dan memantau laporan kakitangan berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Program Kesihatan 'Hanya Dikau Yang Satu, Sayangilah Jantung Anda' di Dewan Sultan Mizan, UMT di Kuala Terengganu semalam.

Pada program tersebut, lebih 1,000 kakitangan UMT menyertai pelbagai program yang diadakan seperti pemeriksaan kesihatan, pameran, pertandingan bayi sihat dan pertandingan mewarna.

Dalam pada itu, Aziz berkata, dalam usaha menyasarkan lebih 70 peratus warga pendidik di UMT yang mempunyai PhD pada tahun 2015, pelaksanaan e-Cube dilihat amat bertepatan.

Jelas beliau, e-Cube merupakan mekanisme yang paling tepat dilaksanakan memandangkan ia berkonsepkan pengurusan secara online yang lebih mudah, cepat dan praktikal.

"Setakat ini seramai 230 kakitangan UMT masih melanjutkan pengajian mereka dan perlu menghantar laporan pengajian setiap enam bulan.

"Justeru, dengan penggunaan sistem ini dapat membantu mereka mengemas kini laporan dari semasa ke semasa tanpa memerlukan kos yang tinggi berbanding menggunakan sistem talian mahupun secara penghantaran pos seperti sebelum ini," jelasnya.

Beliau turut memaklumkan, penggunaan sistem e-Cube tersebut juga akan dipanjangkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi untuk digunakan di universiti lain.

No comments:

Post a Comment