Wednesday, July 28, 2010

19 Sept Keputusan Sama Ada 46 Pengikut Ayah Pin Perlu Bela Diri

Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Selasa menetapkan 19 September depan untuk memutuskan sama ada 46 pengikut ajaran Ayah Pin perlu membela diri terhadap pertuduhan menghina pihak berkuasa agama dengan mengingkari fatwa bahawa ajaran itu adalah sesat.

Hakim Syarie Rosdi Harun menetapkan tarikh itu selepas Ketua Pendakwa Syarie Mustafar Hamzah selesai menyampaikan hujahan.


Dalam prosiding yang dihadiri oleh semua tertuduh termasuk seorang bekas ustazah Kamariah Ali, 59, yang pernah mengemparkan negara kerana mengaku dirinya murtad, Hakim Rosdi turut menetapkan 4 Ogos sebagai tarikh untuk peguam yang mewakili semua tertuduh, Saadiah Din menyediakan hujahan balas secara bertulis.

Beliau juga menetapkan 18 Ogos sebagai tarikh untuk pihak pendakwaan membuat hujahan balas pengulungan sebelum mahkamah memutuskan sama ada wujudnya kes prima facie terhadap kessemua tertuduh.

Terdahulu, Mustafar dalam hujahan yang berlangsung hampir dua jam berkata tertuduh Esah Mohamed bersama 45 orang pengikut Ayah Pin yang lain atau nama sebenarnya Arifin Mohamed, didapati dengan jelas telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 10, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.

Beliau berkata, ia dibuktikan hasil keterangan 25 saksi pendakwa yang dipanggil sepanjang prosiding berhubung kes itu dijalankan sebelum ini dan pihak peguam bela juga gagal menyangkal sebarang keterangan yang dikemukakan oleh saksi.

"Pihak kami telah memanggil 25 orang saksi dan melalui saksi-saksi itu kami telah berjaya membuktikan dan mengemukakan fakta-fakta utama yang perlu dibuktikan menepati fakta persoalan yang terkandung dalam statut peruntukan seksyen berkenaan sebagaimana berikut.

"Pertama tertuduh dan 45 yang lain ditahan ketika berada di dalam kawasan kediaman berpagar di mana Arifin Mohamad tinggal dan kediaman berpagar itu merupakan tempat di mana Ayah Pin menjalankan ajaran dan pegangannya," katanya.

Beliau berkata, terdapat perintah pihak berkuasa agama negeri melalui fatwa yang dikeluarkan supaya orang ramai menghindarkan diri dari terlibat dengan ajaran dan pegangan Ayah Pin.

Sehubungan itu, katanya tindakan tertuduh dan 45 yang lain yang sengaja tinggal dan duduk di dalam kawasan itu telah menghina pihak berkuasa agama kerana tidak menghindarkan diri dari terlibat dengan pegangan dan ajaran Arifin Mohamad sebagaimana yang diperintahkan melalui fatwa.

Mengikut kertas pertuduhan, Esah Mohamed dan 45 tertuduh yang lain pada 20 Julai 2005, kira-kira pukul 10.30 malam telah didapati berada di dalam kawasan kediaman Arifin Mohamad yang dikenali sebagi Ayah Pin iaitu di Kampung Batu 13, Mukim Tenang Hulu Besut.

Dengan cara itu mereka didapati telah bertindak dengan cara menghina pihak berkuasa agama dengan mengingkari fatwa bahawa ajaran dan pegangan Ayah Pin adalah palsu, sesat, menyeleweng dan boleh memberi ancaman kepada ketenteraman awam serta merosakkan akidah.

Oleh itu mereka didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

No comments:

Post a Comment