Wednesday, July 14, 2010

5 Bot Nelayan Terengganu Ceroboh Taman Laut

Lima tangkapan di Terengganu antara 32 tangkapan oleh Jabatan Taman Laut Malaysia terhadap mereka yang menceroboh taman laut di seluruh negara sejak enam bulan lepas.

Ketua Pengarahnya Abdul Jamal Mydin berkata selain Terengganu, 10 daripada kes tangkapan itu berlaku di Kedah, lima di Johor dan 12 di Pahang.

"Jabatan Taman Laut sudah cukup memberi kesedaran kepada orang ramai terutamanya nelayan mengenai kesan negatif pencerobohan oleh pukat tunda dan pukat jerut terhadap sumber marin di taman laut, katanya dalam kenyataan di Johor Bahru semalam.

Beliau berkata operasi penguatkuasaan di kawasan perairan taman laut akan terus diperhebatkan dari semasa ke semasa sama ada oleh Jabatan Taman Laut atau bersama agensi penguatkuasaan lain.

Menurut Abdul Jamal kawasan taman laut merupakan zon larangan bagi sebarang aktiviti menangkap ikan mengikut peruntukan Akta Perikanan 1985 (Pindaan 1994) dan mereka yang melanggarnya boleh didenda atau dipenjarakan.

Terbaru katanya, dua buah bot pukat tunda dari Pengkalan Tok Bali, Kelantan ditahan kerana menceroboh perairan taman laut di Pulau Aur, Johor dua hari lepas.

Katanya pulau-pulau Taman Laut telah diwartakan sebagai kawasan larangan menangkap ikan sejak 1994 mengikut Akta Perikanan 1985 dan sehingga kini sebanyak 42 pulau telah diwartakan sebagai Taman Laut.

Di Johor kata Abdul Jamal, sebanyak 13 buah pulau telah diwartakan sebagai Taman Laut bermula dari Pulau Harimau di bahagian utara dan berakhir dengan pulau Aur di selatan.

Dua buah pusat penerangan turut dibangunkan di Pusat Informasi Taman Laut, Mersing dan Pusat Informasi Taman Laut di Pulau Tinggi bagi menyediakan maklumat mengenai Taman Laut, katanya.

No comments:

Post a Comment