Penyampaian e-Book dan Bantuan Pakaian Sekolah yang dilakukan oleh Menteri Besar di beberapa daerah, termasuk daerah Kemaman Khamis lalu dan hari ini menggambarkan betapa beliau secara peribadi memberikan perhatian yang begitu berat kepada pendidikan anak-anak di bandar dan luar bandar Terengganu.
Cita-cita Datuk Ahmad Said bukan sekadar menjadikan pelajar Terengganu berjaya dan cemerlang dalam pelajaran.
Bukan sekadar kelulusan terbaik untuk anak Terengganu dalam empat peperiksaan – UPSR, PMR, SPM dan STPM – tetapi dengan celik computer, pelajar Terengganu menjadi lebih cemerlang dalam pelbagai bidang.
Berikutan itu, beliau mahu anak Terengganu menerokai bidang-bidang baru dalam pendidikan dan profesional dan tidak lagi tertumpu kepada bidang yang sudah sinonim dengan yang diikuti oleh pelajar-pelajar Terengganu sekarang.
Bagi Ahmad Said, biarlah beliau berdiri berjam-jam di pentas menyampaikan e-Book kepada beratus-ratus pelajar, namun beliau puas kerana dapat bercakap sendiri dengan pelajar dan ibu atau bapa yang menerima bantuan berkenaan.
Pada Khamis lalu beliau menyampaikan e-Book dan Bantuan Pakaian di DUN Kemasik dan Kijal dan pagi ini (4 Julai 2010) di DUN Air Putih.
Mesejnya satu – belajar rajin-rajin dan lulus dengan cemerlang. Ia adalah medan menyuntik semangat pelajar dan ibu bapa!
Ahmad Said mahu pelajar Terengganu ‘mengubah langkah’ ke bidang lebih profesional termasuk kedoktoran, kejuruteraan, penerbangan dan pengajian profesional lain, termasuk bidang Islam.
Menurutnya, suatu hari nanti beliau mahu melihat ramai doktor wanita dari Terengganu yang dapat dilahirkan melahirkan melalui perancangan pendidikan yang dijalankan oleh kerajaan sekarang.
Beliau mahu persediaan segera dilakukan oleh semua pihak, khususnya ibu bapa agar anak-anak negeri Terengganu mampu bersaing dengan pelajar-pelajar lain, khususnya Kelantan.
Menurut Ahmad Said, rakyat Kelantan yang sanggup merantau dengan ‘makan ikan kering di tangan’ kerana mencari rezeki di merata tempat di Malaysia perlu dijadikan contoh.
“Kerana itu kalau kita lihat di mana-mana jabatan kerajaan, orang besar adalah dari Kelantan dan kita pun mahu supaya anak Terengganu turut menerajui jabatan-jabatan kerajaan dan menjadi profesional pelbagai bidang,” katanya.
Ketika menyampaikan ucapan pada majlis pembahagian e-Book dan Bantuan Pakaian Sekolah DUN Kijal petang Khamis lalu, Ahmad Said yang juga ADUN Kijal berharap perancangan kerajaan dengan menghantar anak-anak Terengganu yang berkelulusan cemerlang ke luar negara dapat diteruskan walaupun ekonomi Terengganu mengecil dengan kurangnya hasil minyak dan gas.
“Sebab itu kerajaan kini membuka Ladang Rakyat dan menanam kelapa sawit, termasuk di Kalimantan, sebagai persediaan menyediakan dana untuk rakyat Terengganu.
“Melaluinya, wang akan dikumpulkan dan melalui kerajaan negeri dan Yayasan Terengganu, anak-anak Terengganu yang cemerlang boleh dihantar belajar di merata tempat di seluruh dunia.
“Kita sudah menghantar anak Terengganu ke Russia dan kini kita sedang mengintai peluang untuk menghantar ke Republik Chech dan juga mungkin Cuba,” tegasnya.
Ibu bapa dan anak-anak menunggu dengan tabah untuk menerima e-Book dan Bantuan Pakaian Sekolah.
Soal penting menurutnya, apa juga perancangan kerajaan, ia tidak memilih bulu. Kerajaan Terengganu tidak pernah tanya anak-anak yang cemelang itu anak orang UMNO atau anak orang PAS.
"Pemberian biasiswa, bantuan pendidikan atau e-Book, kita tidak tanya mereka anak siapa. Kerajaan negeri adil dalam memberikan bantuan.
“Bagi kita, sesiapa juga anak Terengganu yang cemerlang akan mendapat bantuan,” katanya.
Yang kita harapkan cuma terima kasih mereka, khususnya daripada ibu bapa kepada kerajaan kerana hanya kerajaan yang mempunyai kemampuan dan berpandangan jauh mampu merancang untuk membangunkan modal insan secara yang benar-benar bermanfaat.
No comments:
Post a Comment