Sunday, July 25, 2010

Ahmad Said Ikrar Bantu Puteri UMNO Perkasakan Parti

Bersemangat menyanyikan lagu UMNO dengan tekad memperkasakan parti. - Gambar oleh Zulkifli Putra

Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Rashid Shirlin malam kelmarin tersenyum lebar dan gembira
dengan jaminan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said bahawa pergerakan itu akan mendapat sokongan dan dokongan UMNO Terengganu dalam menjayakan aktiviti mereka.

Ahmad Said berharap, Puteri UMNO sebagai kumpulan yang mampu mendekati orang muda dan remaja mampu menyedarkan rakyat mengenai putar belit pembangkang sama ada dalam konteks politik mahupun agama.

Berucap merasmikan program “Kesukarelawan” Saya Anak Terengganu di Fieyna Training Centre, Sutra Beach resort, Setiu, Menteri Besar berkata Puteri UMNO sebagai jentera parti mampu bertenaga dan tidak terjebak dalam permainan politik berpuak-puak.

Katanya, sebagai sayap penting parti, Puteri UMNO mampu memperkasakan UMNO, lebih-lebih lagi sebagai penggerak jentera pilihan raya.

Program anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu dengan kerjasama Pergerakan Puteri UMNO Terengganu dihadiri kira-kira 200 peserta. Turut hadir Isteri Menteri Besar, Toh Puan Nurliza Mahmud, Ketua Puteri UMNO Terengganu, Asfalinda Anuar dan Pengarah YPK, Mohd Shafaruddin Mustaffa.

Menteri Besar mahu Puteri UMNO aktif dalam setiap sudut dan dengan kelebihan pemimpin dan ahli-ahlinya yang profesional dan berkelulusan tinggi, remaja akan dapat dipengaruhi dengan lebih mudah.

Cenderahati untuk bekas Ketua Punteri Umno Terengganu, Nordiani Shafie.

“Bagi pihak saya, apa juga bantuan dan sokongan akan kita berikan kepada Puteri UMNO untuk melihat remaja kita bersiap sedia menjadi pemimpin selain membantu jentera parti memperkukuhkan kedudukan dalam keadaan pilihan raya umum ke 13 semakin hampir.

“Saya yakin dengan anggota yang bertambah setiap bulan, Puteri UMNO mampu menggerakkan ahli-ahlinya melawan fitnah pembangkang selain menjelaskan kepada rakyat matlamat kerajaan Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan,” katanya.

Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kesihatan memuji sikap Menteri Besar yang prihatin terhadap keperluan golongan muda dan remaja dalam melatih diri mereka untuk bersiap menjadi pemimpin masa depan.

“Saya tidak menekankan kepada mereka yang perah dan bijak bercakap dan berceramah tetapi melahirkan pemimpin yang mampu menggerakan organisasi pada peringkat negeri dan daerah.

“Kerana itu, saya berharap Puteri UMNO sebagai kilang melahirkan pemimpin kumpulan muda perlu menjalankan kerja dengan gigih dan penuh kesedaran dan sentiasa bermusyawarah.

Puteri UMNO perlu mewujudkan bilik gerakan sama ada di peringkat negeri, bahagian dan juga cawangan. Masalah cakap di depan lain dan di belakang lain perlu dihapuskan jika Puteri UMNO mahu menjadi sebuah sayap parti yang kuat,” katanya.

Beliau mengingatkan kuasa dan kemudahan yang dikecapi sekarang dan disediakan oleh kerajaan, khususnya untuk Bumiputera, akan lenyap jika tidak dijaga dengan betul.

Program tiga hari (22-24 Julai 2010) itu dipenuhi dengan ceramah motivasi, pembentangan strategi, pelan tindakan serta juga kuliah maghrib dan sukan.

Turut hadir pada hari kedua program ialah bekas Ketua Puteri UMNO yang juga Ahli Parlimen Pengerang Johor, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Pada umumnya, selepas program itu peserta diharapkan mampu membuat analisis kekuatan dan potensi diri sebagai pemimpin beliawanis negeri Terengganu.

Selain itu peserta diharap dapat memiliki kesedaran dan penghayatan terhadap nilai murni dan semangat perjuangan pemimpin terdahulu.

Yang penting juga ialah mereka meningkatkan semangat untuk bekerja dalam 1 pasukan.

JK Penganjur bergambar kenangan dengan Menteri Besar dan Toh Puan Nurliza serta Rosnah. - Gambar Zulkifli Putra

No comments:

Post a Comment