Keperihatinan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said terhadap penduduk dalam kawasan yang diwakililinya – DUN Kijal – tidak terbatas kepada memberikan bantuan dari segi wang ringgit semata-mata.
Beliau yang amat prihatin dengan nasib yang menimpa kira-kira 150 nelayan di Pantai Kijal walaupun belum memutuskan bentuk bantuan untuk mereka, pada petang Jumaat lalu, sama-sama memohon kepada Allah agar diselesaikan segera masalah nelayan di situ.
Apa puncanya?
Nelayan di Pantai Kijal kini bingung apabila hasil laut sukar diperoleh sehingga menyebabkan mereka hilang sumber pendapatan sejak dua bulan lalu.
Ahmad Said yang turut merasai keperitan nelayan berkenaan menyertai Solat Hajat di surau kampong Che Wan yang diadakan selepas solat Jumaat.
Tujuannya satu sahaja – berdoa supaya Allah mengurangkan bebanan yang ditanggung nelayan Pantai Kijal yang begitu merosot pendapatan mereka akibat kekurangan ikan sejak dua bulan lalu.
Laporan Sinar Harian semalam menyebut, rata-rata nelayan yang ditemui menyatakan mereka terkejut dengan situasi itu kerana ia tidak pernah berlaku sepanjang tempoh mereka mencari rezeki di laut.
Ibrahim Abdul Ghani, 50, berkata, dia mencari rezeki di laut lebih 30 tahun lalu, dan ini kali pertama hasil laut sukar diperoleh.
“Saya bingung kerana separuh daripada pendapatan saya hilang berikutan keadaan ini.
"Dahulu saya mampu membawa pulang lebih lima kilogram sotong setiap kali ke laut, namun kini tiada sama sekali,” katanya yang ditemui pada Majlis Solat Hajat yang turut dihadiri Ahmad Said.
Menurutnya, walaupun dia sudah keluar awal pagi hingga larut petang, namun hasil laut yang dibawa pulang tidak seberapa.
“Saya bimbang jika fenomena ini berlarutan hingga Ramadan dan Syawal, kami sekeluarga tidak dapat membuat persiapan menyambut puasa dan hari raya,” katanya.
Rakannya, Mohd Kamal Ismail, 48, berkata, dia mempunyai sebuah bot bersaiz besar yang memerlukan hampir RM1,000 untuk sekali perjalanan ke laut.
“Namun, hasil tangkapan ikan yang diperoleh hanya sekitar RM1,300, dahulu saya mampu menjual ikan dan pelbagai hasil laut sehingga RM3,000,” katanya.
Menurutnya, situasi itu tidak dapat dielakkan dan dia menerima keadaan ini dengan redha.
“Saya berharap bantuan sewajarnya dapat diberikan kepada nelayan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal. Ini sebab, hampir 150 nelayan mencari rezeki secara sepenuh masa di sini,” katanya.
Ahmad Said berkata, ketika ini beliau belum berbincang dengan pihak yang boleh membantu nelayan berkenaan.
Namun melihat kepada kesungguhan dan kesediaannya menghadiri solat hajat itu, ada sesuatu yang sedang dirancang oleh Menteri Besar untuk jalan penyelesaian berhubung masalah itu.
No comments:
Post a Comment