Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) bercadang mengemukakan satu konsep audit halal yang boleh dikendalikan secara profesional kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi membantu menyelesaikan masalah barangan halal.
Timbalan DPIM Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata, pengguna beragama Islam kini risau dan bimbang kerana ada produk yang dahulunya dibekalkan oleh usahawan Muslim, dibekalkan pembekal bukan Islam setelah peniaga mendapat sijil halal.
"Kita menyokong penuh dasar kerajaan yang mengembalikan kuasa audit halal itu kepada Jakim, tetapi soalnya sekarang bagaimana DPIM dapat memainkan peranan untuk membantu Jakim melengkapkan khidmatnya supaya tidak ada keraguan dan kelemahan lagi," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat agung DPIM di Hulu Terengganu, semalam. Hadir sama pada majlis itu Presiden DPIM Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail dan Naib Presiden DPIM Datuk Dr Abdul Latif Awang yang juga Pengerusi DPIM Terengganu.
Muhammad Ali berkata, konsep yang dicadangkan itu adalah sama dengan konsep audit kewangan iaitu syarikat, hotel, restoran, pekilang, pekedai atau sebagainya yang ada menawarkan barangan halal, hendaklah melantik audit halal yang akan mengaudit syarikat berkenaan pada setiap masa.
"Majlis tertinggi DPIM yang bermesyuarat hari ini telah meluluskan bahawa cadangan untuk mengemukakan satu konsep sistem audit yang boleh dikendalikan secara profesional kepada Jakim dan kerajaan untuk membantu menyelesaikan masalah barangan halal ini," katanya.
Beliau berkata, sistem audit yang akan ditubuhkan itu nanti sebagai satu profesion di mana DPIM sedia bekerjasama dengan universiti bagi melatih pengaudit supaya program ini dapat dijalankan secara profesional iaitu ada persijilan, berdisiplin, kawalan piawaian dan sebagainya.
"Ia senang saja seperti audit kewangan, syarikat akan melantik orang yang bertauliah untuk mengaudit syarikat mereka. Kita akan berunding dengan Jakim dan saya sendiri akan bertemu mereka bagi membincangkan mengenainya," kata Muhammad Ali.
Menurutnya cadangan audit halal ini adalah idea ahli DPIM sendiri untuk dipertimbangkan kerajaan kerana didapati banyak keresahan dan kebimbangan di kalangan masyarakat Islam kini.
"Perkara halal haram ini tidak boleh diambil mudah kerana ia boleh membangkitkan kemarahan pengguna Islam dan dengan sebab itulah DPIM merasa terpanggil dan bertanggungjawab membuat sesuatu untuk kepentingan bersama," katanya.
No comments:
Post a Comment