Friday, July 30, 2010

Elak kemiskinan diwarisi anak

Seakan tidak dapat dielakkan apabila seseorang itu miskin harta, kesusahan itu akan meliputi semua aspek termasuk pemikiran, ilmu dan sebagainya hingga menyebabkan kemiskinan terus diwarisi anak-anak.

Menyedari hakikat itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, usaha mengurangkan kadar kemiskinan tegar dalam kalangan masyarakat mampu direalisasikan melalui pendidikan berterusan.

“Namun, kita menyedari bahawa dalam hidup serba kekurangan, mereka tidak meletakkan pendidikan sebagai asas utama, sebaliknya apa yang perlu dicari adalah wang bagi menampung kehidupan seharian.

“Bagaimanapun kita tidak seharusnya membiarkan mereka terus terpinggir dan langkah proaktif melalui bantuan yang lebih menjurus untuk memberi kesedaran mengenai pentingnya pendidikan, akan diperhebat dari masa ke masa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Bantuan Kerusi dan Meja Belajar untuk Anak-Anak Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Pusat Khidmat Masyarakat, di Seberang Takir.


Menurutnya, usaha merubah pemikiran ibu bapa adalah antara cabaran yang memerlukan kebijaksanaan, selain perlu mengetahui cara terbaik menggalakkan golongan ini berminat dalam pendidikan.

“Pendidikan adalah cabang terbaik dalam mengatasi, seterusnya keluar daripada kepompong kemiskinan, namun apa yang paling penting, ibu bapa hari ini perlu berfikiran lebih terbuka,” katanya.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan, seramai 50 buah keluarga golongan PPRT yang memiliki anak-anak bakal menduduki peperiksaan awam 2010 menerima bantuan berupa meja dan kerusi belajar.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment