Sunday, July 25, 2010

Gamelan Identiti Dan Lambang Kebanggaan Bangsa – Ahmad Said

Gamelan dipertunjukkan selama tiga hari berturut-turut di Dataran Syahbandar - Gambar Zulkifli Putra.

Gamelan kini menjadi satu identiti serta lambang kebanggaan bangsa Malaysia kerana kesenian itu sudah terkenal di seluruh pelusuk dunia.

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said, berkata gamelan boleh diangkat sama tinggi dengan kesenian bangsa-bangsa lain yang sudah maju di seluruh dunia.

"Perkembangan gamelan ini boleh dilihat melalui Festival Gamelan Dunia yang sedang diadakan di sini," katanya pada majlis pembukaan Festival Gamelan Sedunia (FGS) 2010 di Kuala Terengganu, semalam.

Ahmad Said berkata festival itu memberikan nafas baru kepada kesinambungan dan perkembangan kesenian muzik itu agar ia terus subur.

Akhirnya, kesenian ini diharap dapat pengiktirafan yang paling istimewa seluruh umat manusia, katanya.

Ahmad Said berkata perhimpunan gamelan sedunia kali kedua ini bakal memberi impak yang amat bermakna dalam menyemarakkan seni muzik itu bukan saja dalam konteks tempatan, malahan lebih penting dalam konteks antarabangsa.

Sementara itu, Ketua Sekteriat FGS 2010 Mohd Yusof Abdullah berkata festival itu sebagai satu ruang hiburan eksklusif yang bermutu tinggi untuk dihayati oleh segenap lapisan masyarakat agar mereka dapat mengenali dan seterusnya mencintai seni warisan gamelan.

Beliau yang juga Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu berkata festival selama tiga hari bermula semalam itu disertai 15 kumpulan gamelan dalam dan luar negara.

Ramai tokoh dan pemuzik gamelan dari seluruh dunia berhimpuan di Kuala Terengganu dan antara mereka ialah jurulatih gamelan dunia Prof Dr I Wayan Dibia dari Bali, Prof Dr Rahayu Supanggah dari Jawa dan Bob Khalil dari Malaysia.

Tiga kategori kumpulan akan membuat persembahan. Kumpulan pertama terdiri daripada kumpulan gamelan profesional, kedua dari kumpulan institusi pengajian tinggi (IPT) dan ketiga kumpulan pelajar sekolah.

Sebanyak 15 kumpulan dari dalam dan luar negara sudah mengesahkan penyertaan antaranya Sanggar Singamurthi dari Bali, Garasi Seni Benawa dari Jawa, Lambangsari dari Jepun, Japan Gamelan Club dan Gastarana dari Bukit Tinggi, Sumatra.

Kumpulan dari dalam negara pula adalah seperti Hand Percussion, Istana Budaya, Akademi Seni Budaya dan Warisan Malaysia, Kumpulan Kesenian Kerajaan Negeri Terengganu dan Kumpulan Warisan Negeri Terengganu.

Sekolah dan IPT yang mengambil bahagian ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Gong Badak, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Islam Antarabangsa dan Universiti Malaysia Sarawak.

Bengkel mengenai gamelan turut diadakan dengan kendalian tokoh gamelan dunia.

Tarian dipersembahkan seiring dengan permainan Gamelan. - Gambar Zulkifli Putra.

No comments:

Post a Comment