Friday, July 2, 2010

Hafizh tekad bangkit di Gong Badak 9-10 Julai

Sekalipun hanya mampu menyerlah pada dua dari empat pusingan yang diharungi sepanjang siri Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim ini, rookie dalam kategori CP130, Hafizh Syahrin Abdullah belum menyerah kalah.

Pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Raceline itu berharap mampu memberi cabaran menjelang saingan pusingan kelima yang akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan, Gong Badak, Kuala Terengganu pada 9 dan 10 Julai ini.



Hafizh memulakan langkah gemilang sebaik mengharungi musim pertamanya dalam saingan kelas perdana tahun ini dengan meraih podium pada Pusingan 1 di Alor Setar dan Pusingan 3 di Batu Kawan baru-baru ini. Namun malang menyelubungi Hafizh pada Pusingan 2 di Johor dan Pusingan 4 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) apabila gagal menamatkan perlumbaan.

Untuk rekod, Hafizh berkedudukan tempat keenam dengan kutipan 40 mata, ketinggalan 36 mata kepada pendahulu keseluruhan ketika ini, Ahmad Fazli Sham (Shell Advance Yamaha Maju) yang memegang 76 mata.

“Sekalipun, saya meraih keputusan tempat kedua sebanyak dua kali namun masih banyak perkara yang perlu saya pelajari sepanjang musim ini,” kata Hafizh.

“Dalam merealisasikan matlamat penghujung musim, saya perlu memenangi saingan di Terengganu ini. Saya perlu bermula (muncul juara) di sini, sekiranya masih bercita-cita menamatkan cabaran akhir musim di tempat ketiga.”

No comments:

Post a Comment