Saturday, July 10, 2010

Kejohanan Piala Monsun 2010 DiMeriahkan Dengan Pertandingan Memancing BH

Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun tahun ini akan lebih meriah dengan pelbagai acara sampingan, termasuk pertandingan memancing anjuran Berita Harian yang menawarkan hadiah utama sebanyak RM30,000.

Pertandingan memancing yang akan diadakan pada 4 Disember itu sebahagian inisiatif T-Best Events Sdn Bhd, selaku penganjur untuk menambah kemeriahan kejohanan perayu layar berprestij itu terutama menerusi penyertaan warga tempatan menerusi pelbagai acara sampingan.


Pengerusi T-Best Events, Tan Sri Sabbaruddin Chik, berkata pihaknya menyasarkan untuk mengulangi kemeriahan Piala Monsun 2007 apabila pertandingan memancing yang ketika itu diadakan dengan kerjasama Unit Joran Berita Harian mendapat sambutan sangat menggalakkan.

Katanya, seramai 2,500 kaki pancing dari seluruh negara menyertai pertandingan memancing ketika Piala Monsun berlangsung yang menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM60,000.

"Sehubungan itu, T-Bes Events mahu kemeriahan pertandingan memancing pada 2007 berulang lagi pada tahun ini dengan tampil mempelawa Unit Joran, Berita Harian untuk menganjurkan acara itu sempena Piala Monsun.

"Untuk itu, T-Best Events sekali lagi tampil menaja hadiah wang tunai RM60,000 untuk hadiah keseluruhan pertandingan itu yang dijangka menerima penyertaan sekurang-kurangnya 2,500 kaki pancing dari seluruh negara," katanya selepas menyerahkan tajaan RM60,000 kepada Berita Harian.

Sabbaruddin menyerahkan tajaan itu bagi pihak T-Best Events kepada Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid sambil disaksikan Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Berhad, Datuk Ahmad A Talib dan Pengarang Rencana Pengarang Berita Harian, Kamal Ahmad di jeti Ri-yaz Heritage Marina dan Spa, Pulau Duyong di Kuala Terengganu, kelmarin.


Ia adalah tapak lokasi pertandingan memancing dan kejohanan perahu layar Piala Monsun berlangsung.

Sementara itu, Ahmad berkata, kaki pancing di seluruh negara perlu mengambil peluang untuk menyertai pertandingan itu yang menawarkan hadiah paling lumayan dengan segera mendaftar sama ada menggunakan borang yang ditampilkan dalam sisipan Unit Joran atau menerusi laman sesawang Berita Harian serta laman sosial Facebook.



Sabbaruddin menyerahkan tajaan bagi pihak T-Best Events kepada Mior Kamarul disaksikan Ahmad A Talib.

No comments:

Post a Comment