Sebahagian daripada penghulu yang menghadiri Wacana Pembangunan Daerah dan Mesyuarat Agung Persatuan Penghulu dan Penggawa Semenanjung di Kuala Terengganu, kelmarin.
Selaku pemimpin setempat yang berperanan menjayakan dasar kerajaan, laporan yang tepat oleh penghulu membantu kerajaan mengenal pasti permasalahan dan penyediaan kemudahan bagi rakyat.
Menteri Besar, datuk Ahmad Said, berkata melalui kerjasama erat penghulu akan membolehkan persoalan yang lebih penting termasuk mereka yang hidup melarat dan menghidap penyakit kronik dibantu manakala keperluan asas setempat diberi keutamaan dan bukannya melibatkan projek yang memenuhi kepentingan individu.
Katanya, mereka sepatutnya menjadi orang pertama dan tidak sepatutnya menjadi orang yang terakhir mengetahui segala masalah berbangkit.
Berucap menutup Wacana Pembangunan Daerah 2010 dan merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Penghulu dan Penggawa Semenanjung cawangan Terengganu di Kuala Terengganu, kelmarin, Ahmad Said berkata, penghulu juga perlu membimbing Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam membuat cadangan-cadangan permohonan yang sepatutnya untuk memenuhi keperluan sebenar masyarakat.
Sehubungan itu, beliau meminta penghulu bekerjasama dengan para pemimpin masyarakat setempat termasuk wakil rakyat bagi membantu memastikan golongan miskin yang perlu dibantu tidak tercicir daripada senarai e-Kasih.
Menurut Ahmad Said, ia sebahagian daripada tanggungjawab agar tidak merencatkan usaha kerajaan membela nasib golongan itu dan memberi imej tidak baik kepada kerajaan apabila kalangan yang tidak selayaknya pula mendapat kemudahan.
"Ia (senarai) perlu dipantau, jangan dibiarkan dibuat (penilaian) atas wakaf," katanya sambil mengharapkan senarai itu dapat dikemas kini dengan laporan tepat dan membolehkan bantuan berjalan lancar. "Ia bukanlah suatu yang susah," katanya.
Sehubungan itu juga beliau akan turun padang untuk meneliti sendiri kalangan peserta yang disenarai terutama dalam kategori miskin tegar yang keseluruhannya melibatkan 450 keluarga di seluruh negeri ini.
No comments:
Post a Comment