Wednesday, July 28, 2010

KMC Hospital Terbesar di Pantai Timur

Bangunan baru Kuantan Medical Centre (KMC) yang menelan belanja RM120 juta bakal menjadi hospital terbesar di Pantai Timur apabila siap pada tahun 2012.

Bangunan itu yang dibina di atas tapak seluas 4.3 hektar di Bandar Indera Mahkota, Kuantan akan menyediakan kemudahan 150 katil berdasarkan konsep bilik persendirian bagi memberi keselesaan kepada pesakit dan dilengkapi dengan 10 katil untuk Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tujuh dewan bedah.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said berkata, keperluan membina bangunan baru berikutan kedudukan bangunan sedia ada yang terletak di bandar Kuantan tidak begitu kondusif.

"Kita berharap dengan bangunan baru ini pesakit akan lebih selesa termasuk tambahan pakar perubatan dalam pelbagai bidang yang akan diambil untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pesakit, " katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah projek bangunan baru KMC di Kuantan, semalam.

Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pengerusi TDM Bhd, Datuk Senator Roslan Awang Chik.

Ahmad berkata, KMC akan terus kekal sebagai pakar perubatan komuniti yang menawarkan penjagaan kesihatan berkualiti dengan menekankan perkhidmatan yang menitikberatkan pelanggan, seterusnya mampu dinikmati orang ramai.

Kerajaan negeri sentiasa mengutamakan aspek perkhidmatan kesihatan kepada rakyat dengan menyediakan sejumlah besar peruntukan untuk tujuan itu, termasuk membiayai pengajian 150 pelajar anak Terengganu ke luar negara dalam jurusan perubatan.


Malah, sebahagian pelajar terbabit akan ditawarkan berkhidmat dengan KMC atau pusat perubatan negeri selepas mereka menamatkan pengajian nanti, katanya.

Berita Harian

No comments:

Post a Comment