Lambakan tembikai daripada beberapa negeri, termasuk Kelantan menyebabkan petani di Terengganu mengeluh berikutan penurunan mendadak harga sekali gus menjejaskan pendapatan mereka yang hanya bergantung hidup daripada hasil tanaman itu.
Dua minggu lalu, petani negeri ini menjual kepada pembekal tempatan pada harga purata 70 sen sekilogram, tetapi kini menurun kepada 45 sen sekilogram selepas pasaran dilambakkan tembikai pada harga lebih murah.
Lebih memburukkan nasib penanam tembikai ialah kedatangan lebih awal musim buah-buahan tempatan termasuk durian yang dijangka menjatuhkan lagi harga tembikai di pasaran.
Sehubungan itu, Ab Rahim Muda, 47, dari Kampung Bukit Nasi, berharap pihak berkuasa tempatan mengawal kemasukan tembikai dari negeri jiran supaya tidak mewujudkan lambakan di pasaran.
Perlu ada pemantauan supaya hasil tani dari negeri luar tidak dibawa masuk bagi memastikan petani di negeri ini dapat meraih hasil berpatutan dan sepadan dengan pelaburan dan keringat mereka mengusahakan tanaman termasuk tembikai.
Sebagai petani yang bergantung sepenuhnya kepada hasil tanaman ini, berapa sangat hasil yang akan kami dapat jika satu kilogram tembikai hanya 45 sen sedangkan peruncit menjualnya pada harga RM1.50 hingga RM2 sekilogram, katanya ketika ditemui Edisi Timur di sini, kelmarin.
Muda Ismail, 70, dari Kampung Bukit Wan, Batu Rakit, pula berkata, dia runsing setiap kali memikirkan kemungkinan besar tembikai yang ditanamnya tidak dapat dijual seperti biasa dengan ketibaan musim buah durian, rambutan serta duku mulai bulan depan.
Jika keadaan itu berlaku, kemungkinan besar tembikai kami terpaksa dijual pada harga sangat murah malah pada tahun lalu, banyak yang tidak dapat dijual.
Orang ramai akan lebih tertumpu kepada buah-buahan lain dan mengetepikan tembikai secara tidak langsung permintaan terhadap buah ini turun dan harga pula jatuh sedangkan tembikai melambak malah tidak dapat dijual ke tempat lain, katanya yang sudah menanam tembikai sejak 25 tahun lalu.
Muda berkata, petani di negeri ini termasuk penanam tembikai tidak dapat bergantung harap kepada FAMA kerana harga yang dibeli agensi itu juga terlalu rendah dan tidak berbaloi dengan usaha mereka.
Berita Harian
No comments:
Post a Comment